Archive for the Kelantan Category

PAMERAN KEGEMILANGAN BOLA SEPAK KELANTAN

Posted in Kelantan, Pengumuman on 3 Januari 2013 by Admin

MB kecewa dasar Islam diejek

Posted in Artikel, Kelantan, Tok Guru on 6 Mac 2012 by Admin
Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mengejek dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan Pas di negeri ini.

Beliau berkata, perbuatan itu memalukan kerana seluruh rakyat termasuk bukan Islam melihat bagaimana orang Melayu Islam menghina agama sendiri.

“Kenapa orang Melayu Islam datang ke sini (Kelantan) nak ejek dasar Islam? Saya malu kerana orang bukan Islam melihat perkara ini,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada ubudiyah, masuliyah dan itqan jelas bersumberkan al- Quran.

“Kita ambil semua itu daripada al-Quran bukan daripada mana-mana ideologi di dunia yang boleh diejek sesuka hati, kalau tolak al-Quran, tak jumpa jalan.

“Kita didik rakyat supaya apa sahaja yang kita lakukan mesti dengan taqwa kepada ALLAH SWT,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta pelancong terutamanya dari luar negara agar menghormati tata susila ketika berkunjung ke negeri itu dengan tidak memakai pakaian yang menjolok mata.

”Ini tugas pihak berkuasa mengenai pelancongan agar memastikan suasana melancong di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

”Kalau di tempat mereka seperti di Eropah nak pakai apa pun tidak mengapa tetapi bila ke Kelantan ia sedikit berbeza dan mesti bersopan, berada di tempat awam mesti berbeza dengan di bilik air, mana bolah nak pakai pakaian sama,” katanya. – Sinar harian

Ana teruja berbulan madu di Kelantan

Posted in Artikel, Kelantan on 5 Mac 2012 by Admin
Ana teruja berbulan madu di Kelantan
Ana teruja berbulan madu di Kelanta

KOTA BHARU – Penyanyi Ana Raffali yang menamatkan zaman bujangnya baru-baru ini, gembira apabila hasratnya untuk berbulan madu bersama suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi kenyataan.

Lebih membahagiakan pasangan yang dinikahkan pada 25 Febuari lalu kini melayari saat-saat yang paling bermakna dalam hidup dengan melakukan perkara yang sangat diidamkan setelah berada di Kelantan.

Ana yang tidak lekang daripada senyuman itu memberitahu, dia sangat teruja dan seronok dapat menghabiskan masa bersama dengan insan tersayang di negeri ini selepas bergelar suami isteri.

“Saya bercuti selama dua minggu dan dengan peluang yang ada ini saya gunakan untuk melawat sanak saudara di Kelantan. Saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui media hari ini sempena majlis meraikan perkahwinannya di Kelantan Trade Center (KTC).

Ana Raffali yang masih dalam proses menyiapkan album barunya dengan mempertaruhkan single “Lisa Jatuh Cinta” itu juga sangat bertuah kerana dia dapat menunaikan keinginannya untuk menikmati keistimewaan masakan orang Kelatan.

“Sejak sampai di sini, pelbagai manakan tradisi orang Kelantan saya sudah makan, sedapnya menikmati hidangan nasi kerabu, nasi dagang, jeruk mame, solok lada dan banyak lagilah.

“Saya akui orang Kelantan sangat ramah dan pandai memasak,” katanya yang ayu menggayakan baju kurung berwarna gelap.

Ana yang mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan panggilan mesra terhadap suaminya itu kini melupakan seketika tentang kerjayanya kerana selepas habis cuti nanti dia sudah mempunyai jadual yang ketat termasuk memenuhi pelbagai undangan.

Sebagai tanda meraikan pasangan pengantin baru itu, pihak KTC menawarkan pakej berbulan madu di hotelnya selama empat hari dan turut diselitkan dengan beberapa aktiviti menarik untuk dinikmati sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, sempena kedatangan penyanyi berkenaan pihak hotel akan menamakan bilik tersebut sebagai Kamar Ana Raffali dan Naim.

Katanya, selain Ana Raffali pihaknya juga berhasrat untuk memberikan tawaran yang sama kepada penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-bunga Cinta juga, Misya Omar bersama pasangannya dan juga Malek Noor. -Sinar Harian

Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai

Posted in Kelantan on 12 Februari 2012 by Admin

Dari Official Supporters Page of Husam Musa

KENYATAAN AKHBAR

PROJEK PEMBINAAN LEBUHRAYA KOTA BHARU – KUALA KRAI

Projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai telah dicadangkan oleh Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia ke 5 (1986-1990) tetapi tidak terlaksana sehingga ke hari ini. Ia telah diluluskan sekali lagi dalam Rancangan Malaysia ke 9 dan sebuah syarikat pemaju telah dilantik untuk melaksanakan pembinaan projek tersebut.

Namun begitu sehingga kini projek tersebut tidak dimulakan. Memandangkan laluan ini adalah sangat penting bagi kemajuan Negeri Kelantan serta kemudahan untuk pengguna terutama sekali pada musim perayaan, Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk mengambil langkah untuk melaksanakan pembinaan lebuhraya ini melalui inisiatif Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Kelantan telah membuka tawaran bagi cadangan projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai pada 2 Januari 2012 dan ditutup pada 9 Februari 2012. Alhamdulillah Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan Lebuhraya ini telah menerima tawaran dan kertas cadangan dari 5 syarikat.

Untuk makluman, pembinaan lebuhraya sepanjang 73 km yang bertaraf R5 dengan 9 persimpangan bertingkat serta 2 buah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) dengan tawaran kos sebanyak RM1.5- 1.8 Billion.

Pemilihan syarikat yang berjaya akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan selepas Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan menilai cadangan-cadangan tersebut dalam masa terdekat.

Penelitian awal terhadap cadangan-cadangan tersebut pada hari ini iaitu 11 Februari 2012 dan pada umumnya Jawatankuasa ini berkeyakinan cadangan yang dikemukakan adalah berdaya maju. Insyaallah harapan rakyat Kelantan untuk mempunyai jaringan pengangkutan yang moden dan selesa akan dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

YB Dato’ Hj Husam B. Musa
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan

Mustapa Mohamed ‘bohongi’ rakyat Kelantan

Posted in Kelantan on 7 Februari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, : Pada 2008 Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membayar pinjaman yang dilulus kerajaan pusat bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan sebanyak RM12 juta.

Pinjaman tersebut dibayar mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kewangan.

Oleh itu kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed kononnya pinjaman lebih RM500 juta dilulus kerajaan pusat diberi percuma tidak berasas sama sekali.

Malah ramai menyifatkan fakta tersebut merupakan satu pembohongan bermesej politik peringkat tertinggi yang membabitkan seorang berjawatan menteri.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanafi Mahmud berkata, kenyataan yang dikeluarkan menteri terbabit cukup mengelirukan.

Katanya, pinjaman yang dilulus kerajaan pusat bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan sejak 2001 tidak diberi secara percuma, sebaliknya perlu dibayar.

“Kenyataan seperti itu secara jelas cuba mengelirukan rakyat. Pada 2008 AKSB telah membayar pinjaman yang terima sebelum ini sebanyak RM12 juta.  Pinjaman itu tidak diberi secara percuma seperti negeri-negeri lain,” katanya di sini.

Mustapa ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Tanah Merah baru-baru ini dilaporkan mendakwa pinjaman RM600 juta diberi percuma kepada Kelantan bagi meningkatkan bekalan air.

Pinjaman tersebut yang dilulus di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebanyak 96 juta, RMK-9 (RM160 juta) dan RMK-8 (RM291 juta).

Ini bermakna jumlah pinjaman yang diluluskan dalam tiga RMK sebanyak RM547 juta, sedangkan dijanjikan RM600 juta. Jumlah pinjaman yang diberi itu mengambil masa tiga RMK dan bukan diberi sekaligus.

Pinjaman pertama diterima pada 2001 dan projek awal yang dijalankan siap pada 2003.

(Ikuti maklumat lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Hari Sambutan Suami Isteri 2012

Posted in Kelantan, Pengumuman on 7 Februari 2012 by Admin

Pembangunan Kota Bharu Sentral Bakal Menggamit Pelabur

Posted in Artikel, Kelantan on 2 Februari 2012 by Admin

 

Keharmonian Kaum di Kelantan

Posted in Kelantan, Tok Guru on 1 Februari 2012 by Admin

Video ini diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan yang bertujuan untuk memberikan gambaran sebenar terhadap keharmonian hidup antara kaum di negeri Kelantan.

Hapus PTPTN: Kelantan kumpul data peminjam

Posted in Artikel, Kelantan on 17 Januari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, 17 Jan: Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa (gambar) memberitahu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menggerakkan usaha mengenal pasti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk dihapuskan hutang mereka jika Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah diarah untuk mengumpul data mereka yang terlibat.

“Negeri lain saya tidak tahu, tetapi di Kelantan kita mempunyai royalti minyak dan ia membolehkan hutang berkenaan dihapuskan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pengumuman Pembangunan Kota Bharu Sentral @ Tunjong di Hotel Rennaisance, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan
negeri berkata, hutang yang akan dilupuskan itu melibatkan jumlah yang dipinjam oleh pelajar berkenaan sejak tahun 2005 hingga sekarang.

Dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 di Alor Setar Sabtu lalu, Husam menawarkan bahawa negeri Kelantan akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada PTPTN jika Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Husam membayangkan, bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan yang pada waktu itu diterajui Pakatan Rakyat.

Husam berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja untuk memperkasa perkhidmatan awam – satu tawaran yang dilancarkan Pakatan dalam manifesto Tawaran Jingga.

1,000 peneroka Kesedar berhimpun tuntut keadilan

Posted in Artikel, Kelantan on 17 Januari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

GUA MUSANG, 17 Jan: Selepas lebih 30 tahun berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga kebajikan terabai, akhirnya peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyerah memorandum menuntut hak mereka.

Memorandum yang mengandungi 15 tuntutan peneroka daripada sembilan rancangan kemajuan (RKT) tanah Kesedar diserah Pengerusi Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah (Waris) Kesedar Kelantan, Hamdan Jusoh pagi tadi.

Memorandum setebal tiga muka surat itu diterima Pengurus Besar Kesedar, Arshad Ismail selepas majlis dialog dengan wakil-wakil peneroka.

Sebelum itu lebih 1,000 peneroka daripada sembilan RKT terbabit berarak bermula di Pejabat Agama Gua Musang menuju ke ibu pejabat Kesedar di Bandar Baru Gua Musang.

Mereka hadir beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada Waris bagi membela nasib mereka, selepas mendakwa sekian teraniaya di bawah pengurusan Kesedar.

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter diketuai Hamdan. Hadir sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, Mazlan Aliman, Pengerusi Waris Pusat, Ruslan Ismail dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin.

Antara tuntutan yang dikemukakan Waris termasuk menghapus hutang peneroka Kesedar seperti mana yang dijanjikan, Kesedar hendaklah berlaku adil dalam setiap pembahagian peruntukan projek dan bantuan.

Selain itu Kesedar harus memberi 10 ekar kepada peneroka, peneroka perlu tahu ke mana wang hasil ladang sawit dan getah.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Ruslan berkata, Kesedar perlu memberi penjelasan terperinci kos yang ditanggung peneroka bagi proses tanam semula.

“Peneroka ingin tahu ke mana hasil ladang Kesedar diurus oleh Kesedar Dagang. Kesedar juga perlu menjelaskan ke mana wang pampasan yang dibayar kerajaan untuk tanah peneroka yang terlibat dengan jalan, kabel elektrik dan sebagainya.

“Kesedar juga perlu menjelaskan kos tanam semula bagi setiap hektar kebun. Kami juga memohon Kesedar membayar balik wang lebihan dan hutang yang telah dibayar melalui potongan bayar kembali (BK),” katanya.

Selain itu kata beliau Kesedar perlu menyerah balik jawatan pengerusi Kesedar kepada Menteri Besar Kelantan.

Salinan memorandum yang sama diserah kepada Sultan Kelantan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar Kelantan dan pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar.

Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan ibu pejabat Kesedar mendapat permit polis. Ada beberapa anggota polis berkawal di pintu masuk ke pejabat Kesedar.

Hanya lima wakil peneroka dan kepimpinan Anak dan Waris sahaja dibenarkan masuk.

Sejurus selepas selesai majlis tersebut, seorang peneroka dari Paloh 3, Hamid Awang Kechik, 54 membuat laporan polis ekoran kebun sawitnya seluas ditebang Kesedar biar pun beliau tidak mengizinkan bagi projek tanaman semula.

Sebahagian peneroka yang hadir turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi memberi sokongan kepada Hamid.

Hamid juga meluahkan rasa bimbang perjanjian kedua yang diminta ditandatangani setiap peneroka menyebabkan kebun diusahakan selama ini hilang begitu sahaja.