Archive for the Artikel Category

Doktor Muslim buka klinik percuma untuk warga miskin di Carolina, AS

Posted in Artikel, Hikmah, Luar Negara on 17 Mei 2012 by Admin

http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2012/04/doktormuslimbukaklinikpercumauntukwargamiskindicarolina252cas.jpg?w=300

Kaum perempuan di Carolina, Amerika Syarikat kini boleh mendapatkan perkhidmatan klinik percuma. Seorang doktor muslim akhirnya boleh mewujudkan mimpi untuk membina klinik di sana. Klinik yang diberi nama ‘Shifa’ sengaja ditubuhkan untuk membantu para perempuan berusia 17-65 yang tidak dapat khidmat insurans dari kerajaan. “Ini seperti mimpi yang menjadi nyata,” ujar Resma Khan seperti ditulis Post and Courier, Jumaat (9 / 12)
Khan adalah seorang Ginekologis di Ralph H. Johnson VA Medical Center. Beliau berkata tujuannya membuat klinik untuk memberi khidmat dan membantu golongan miskin di kotanya. Wanita berusia 41 tahun ini sebelumnya bekarja untuk mendirikan klinik percuma di Mount Pleasant.
Mimpi Khan wujud berkat bantuan Lingkaran Bantuan Islam untuk Amerika Utara (ICNAR), yang membayar sewa klinik tiga bilik. Klinik ini terletak di sebuah bangunan pejabat di Lowcountry Boulevard. Setelah mendapatkan bantuan dana dari ICNAR, dia berharap klinik yang mula beroperasi pada 7 Januari 2012 ini akan semakin berdikari dengan adanya sumbangan tempatan dan geran.
Khan akan memberikan perkhidmatan uji ginekologi rutin termasuk pemeriksaan payudara, pemasangan alat kontrasepsi, rawatan penyakit seksual dan uji kehamilan. Untuk servis kebidanan, belum dapat diberikan di klinik ini. Dia berharap dapat semakin memperluaskan perkhidmatan jika ada tambahan doktor, jururawat atau sukarelawan lain.
Klinik akan digunakan satu hari dalam seminggu. Dia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan bilik tersebut untuk tujuan lain seperti les biologi.
Bagi kaum Muslim, klinik Shifa, merupakan klinik percuma pertama yang ada di Carolina. Tertubuhnya klinik Syifa mendapat banyak pujian tak hanya dari golongan umat Islam sahaja.
Kesatuan Gereja Charleston memuji usaha yang dilakukan oleh Khan. “Ada ramai orang yang sangat memerlukan,” kata Kosok dari klinik. Anda akan menjadi berkat bagi komuniti perubatan dan tidak akan kekurangan pesakit,” kata Kosok, salah seorang anggota komuniti gereja tersebut.
Muslim Amerika kini telah melancarkan inisiatif sama di seluruh negeri. “Dalam Islam, kita percaya bahawa kita harus membantu semua orang,” kata Imam Mohamed dari Pusat Masjid Charleston. Ramai yang menganggap ini sebagai salah satu simbol patriotisme sejati dari seorang muslim.
Tahun lalu, sekumpulan doktor Ohio membuka Klinik Komuniti Noor, yang menawarkan cek-up percuma bagi orang-orang yang tidak mendapat servis insurans.
Lebih dari satu dekad sejak penubuhan, Persatuan Perubatan Muslim Universiti (UMMA) kini berkhidmat kepada 16,000 pesakit AS dari semua latar belakang agama. Pada tahun 1996, sekumpulan pelajar Muslim AS yang tidak puas hati dengan kurangnya penglibatan kaum Muslim dalam menyelesaikan isu-isu sosial Amerika, melancarkan klinik 24 jam pertama amal di Amerika Syarikat. AS adalah salah satu negara terkaya di dunia, tetapi demokrasi industrial tidak memberikan liputan perkhidmatan kesihatan untuk semua penduduknya.

MB kecewa dasar Islam diejek

Posted in Artikel, Kelantan, Tok Guru on 6 Mac 2012 by Admin
Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mengejek dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan Pas di negeri ini.

Beliau berkata, perbuatan itu memalukan kerana seluruh rakyat termasuk bukan Islam melihat bagaimana orang Melayu Islam menghina agama sendiri.

“Kenapa orang Melayu Islam datang ke sini (Kelantan) nak ejek dasar Islam? Saya malu kerana orang bukan Islam melihat perkara ini,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada ubudiyah, masuliyah dan itqan jelas bersumberkan al- Quran.

“Kita ambil semua itu daripada al-Quran bukan daripada mana-mana ideologi di dunia yang boleh diejek sesuka hati, kalau tolak al-Quran, tak jumpa jalan.

“Kita didik rakyat supaya apa sahaja yang kita lakukan mesti dengan taqwa kepada ALLAH SWT,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta pelancong terutamanya dari luar negara agar menghormati tata susila ketika berkunjung ke negeri itu dengan tidak memakai pakaian yang menjolok mata.

”Ini tugas pihak berkuasa mengenai pelancongan agar memastikan suasana melancong di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

”Kalau di tempat mereka seperti di Eropah nak pakai apa pun tidak mengapa tetapi bila ke Kelantan ia sedikit berbeza dan mesti bersopan, berada di tempat awam mesti berbeza dengan di bilik air, mana bolah nak pakai pakaian sama,” katanya. – Sinar harian

Ana teruja berbulan madu di Kelantan

Posted in Artikel, Kelantan on 5 Mac 2012 by Admin
Ana teruja berbulan madu di Kelantan
Ana teruja berbulan madu di Kelanta

KOTA BHARU – Penyanyi Ana Raffali yang menamatkan zaman bujangnya baru-baru ini, gembira apabila hasratnya untuk berbulan madu bersama suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi kenyataan.

Lebih membahagiakan pasangan yang dinikahkan pada 25 Febuari lalu kini melayari saat-saat yang paling bermakna dalam hidup dengan melakukan perkara yang sangat diidamkan setelah berada di Kelantan.

Ana yang tidak lekang daripada senyuman itu memberitahu, dia sangat teruja dan seronok dapat menghabiskan masa bersama dengan insan tersayang di negeri ini selepas bergelar suami isteri.

“Saya bercuti selama dua minggu dan dengan peluang yang ada ini saya gunakan untuk melawat sanak saudara di Kelantan. Saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui media hari ini sempena majlis meraikan perkahwinannya di Kelantan Trade Center (KTC).

Ana Raffali yang masih dalam proses menyiapkan album barunya dengan mempertaruhkan single “Lisa Jatuh Cinta” itu juga sangat bertuah kerana dia dapat menunaikan keinginannya untuk menikmati keistimewaan masakan orang Kelatan.

“Sejak sampai di sini, pelbagai manakan tradisi orang Kelantan saya sudah makan, sedapnya menikmati hidangan nasi kerabu, nasi dagang, jeruk mame, solok lada dan banyak lagilah.

“Saya akui orang Kelantan sangat ramah dan pandai memasak,” katanya yang ayu menggayakan baju kurung berwarna gelap.

Ana yang mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan panggilan mesra terhadap suaminya itu kini melupakan seketika tentang kerjayanya kerana selepas habis cuti nanti dia sudah mempunyai jadual yang ketat termasuk memenuhi pelbagai undangan.

Sebagai tanda meraikan pasangan pengantin baru itu, pihak KTC menawarkan pakej berbulan madu di hotelnya selama empat hari dan turut diselitkan dengan beberapa aktiviti menarik untuk dinikmati sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, sempena kedatangan penyanyi berkenaan pihak hotel akan menamakan bilik tersebut sebagai Kamar Ana Raffali dan Naim.

Katanya, selain Ana Raffali pihaknya juga berhasrat untuk memberikan tawaran yang sama kepada penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-bunga Cinta juga, Misya Omar bersama pasangannya dan juga Malek Noor. -Sinar Harian

Anak pengarah filem Oscar peluk Islam di Iran

Posted in Artikel on 15 Februari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Penerbit filem Amerika Syarikat, Sean Stone (gambar), anak kepada pengarah terkenal Oliver Stone, yang pernah memenangi Oscar telah memeluk Islam pada Selasa lalu di Iran, di mana beliau sedang membuat satu dokumentari, lapor AFP.

“Kemasukan ke Islam bukan bermaksud membuang Kristian mahupun Judaism, kepercayaan yang saya dilahirkan dengan. Ia bermaksud saya telah menerima Mohammad dan juga nabi-nabi yang lain,” kata beliau dalam satu perbualan telefon ringkas daripada Isfahan, di mana beliau memeluk Islam di pejabat ulama terkenal Ayatullah Mohammad Nasseri Dowlatabadi.

Bapa Sean Stone ialah seorang Yahudi, manakala emaknya ialah seorang Kristian.

Pemuda 27 tahun itu tidak menyatakan mengapa beliau memilih untuk memeluk Islam.

Berdasarkan laporan media Iran, Fars news, Sean Stone telah menjadi seorang Muslim dengan nama pertamanya Ali.

Sean pernah berlakon dalam beberapa filem bapanya, dan pernah mengarah beberapa siri dokumentari.

Tahun lepas, timbul spekulasi hangat bahawa bapa Sean akan merealisasikan cita-citanya untuk membuat sebuah filem blockbuster mengisahkan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Pengarah kontroversi, yang pernah memenangi tiga Oscar turut berada di republik tersebut mencari lokasi yang sesuai untuk penggambaran.

Pada 2010, seorang ahli personaliti Barat yang popular, wartawan dan juruhebah Britain Lauren Booth, ipar kepada bekas perdana menteri Britain Tony Blair turut memeluk Islam setelah lawatannya ke Iran.

Firefly lancar tawaran tambang RM19

Posted in Artikel on 14 Februari 2012 by Admin
Firefly

KUALA LUMPUR – Firefly melancarkan kempen “Just Pay This To Fly” yang menawarkan tempat duduk berharga RM19, yang merupakan satu daripada  “Tawaran Terbesar”nya tahun ini.

Mulai hari ini hingga 19 Februari, tambang sehala termasuk semua dari serendah RM19 ke destinasi-destinasi domestiknya dijual bagi tempoh perjalanan yang panjang iaitu dari 19 Mac hingga 27 Oktober, 2012.

“Kempen promosi ini disasarkan kepada mereka yang merancang bercuti seketika daripada rutin harian yang sibuk dan mereka yang merancang perjalanan semasa cuti sekolah pada Jun dan Ogos.

“Kami percaya ini adalah peluang yang baik bagi pelancong tempatan dan asing untuk meneroka tarikan-tarikan hebat yang ada di Malaysia, terutamanya budaya yang pelbagai, warisan yang mempesonakan, pulau-pulau yang tenang dan damai serta beraneka jenis makanan,” kata Ketua Pegawai Operasi Jarak Dekat Malaysia Airlines/Firefly, Ignatius Ong, dalam satu kenyataan hari ini.

Tambang sehala yang ditawarkan pada RM19 termasuk semua sebenarnya merupakan tambang sifar dengan sedikit fi pentadbiran sebanyak RM10 dan cukai lapangan terbang sebanyak RM9.

Promosi RM19 merangkumi destinasi percutian popular seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuantan dan Alor Setar.

Menurut Firefly, jualan itu juga merangkumi destinasi tempatan Firefly dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Tambang promosi ini hanya boleh ditempah dalam talian, katanya.

Syarikat penerbangan komuniti itu berkata sambutan terhadap jualan itu, yang bermula hari ini, menggalakkan, dan lebih 60 peratus tempahan hari ini adalah bagi promosi itu.

Pelanggan-pelanggan disarankan menempah awal, kerana tempat duduk yang ditawarkan tertakluk kepada pembelian awal dan sama ada tempat duduk masih ada.

Bagi maklumat untuk menempah penerbangan dalam jadual dalam laluan Firefly, sila kunjungi laman sesawang http://www.fireflyz.com.my. – Bernama

Pembangunan Kota Bharu Sentral Bakal Menggamit Pelabur

Posted in Artikel, Kelantan on 2 Februari 2012 by Admin

 

‘UIA boleh ambil profesor, tapi bukan ilmu saya’

Posted in Artikel on 31 Januari 2012 by Admin

Dari Malaysiakini

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari hari berkata, beliau tidak kisah gelaran sama ada gelaran profesornya ditarik balik oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atau tidak kerana kepakaran yang dimiliki tetap bersamanya.

NONE“UIA boleh tarik gelaran itu tapi UIA tak boleh ambil ilmu saya. Kepakaran saya akan terus bersama saya.

“Saya tidak boleh sekat orang panggil saya profesor; apa pun saya saya tidak kisah ada gelaran atau tidak. Saya tetap saya,” katanya.

Dr Aziz (kiri) hari ini dilaporkan tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah menamatkan perkhidmatan dengan UIA.

Menjawab pertanyaan pembaca Utusan Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat UIA berkata, Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Dr Aziz berkata, beliau sedih dengan gelagat UIA yang didakwa jelas menjadi “alat orang lain” dengan mengeluarkan kenyataan memalukannya, hanya kerana pertanyaan sepucuk surat pembaca “yang jahil” tentang ilmu dan gelaran profesor.

“Nampak macam UIA hendak ikut sama memalukan saya supaya saya sukar menghadapi hari-hari yang mendatang.

“Negara sudah tahu saya tidak lagi berkhidmat di UIA; jadi perlukah UIA membuat kenyataan begitu?” katanya.

UIA yang minta saya pohon profesor

Dr Aziz juga berkata, secara faktanya, ramai “profesor pencen” masih dipanggil profesor kerana orang yakin dan hormat dengan ilmunya dan setakat ini tidak ada universiti di Malaysia yang membuat kenyataan umum seperti UIA itu.

NONEBeliau juga berkata tidak kisah atas tindakan itu kerana kegiatan akademik awamnya bermula sejak saya belum bergelar profesor lagi.

“Dengan itu apa yang mereka lakukan tidak akan memberi kesan kepada saya,” katanya.

Menurut Dr Aziz juga berkata, gelaran profesor itu pun dipohonnya sebelum ini atas permintaan UIA sendiri melalui surat rasmi daripada rektor sepuluh tahun lalu.

“Tidak seperti orang lain saya tidak memohon, Saya diminta oleh pihak UIA, hujung 2002, untuk memohon jawatan profesor.

“Mungkin kerana ketika itu tulisan dan autoriti saya mengatasi rakan-rakan lain dalam fakulti dan mereka mahu saya ‘masuk’ dulu,” katanya.

Hapus PTPTN: Kelantan kumpul data peminjam

Posted in Artikel, Kelantan on 17 Januari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, 17 Jan: Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa (gambar) memberitahu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menggerakkan usaha mengenal pasti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk dihapuskan hutang mereka jika Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah diarah untuk mengumpul data mereka yang terlibat.

“Negeri lain saya tidak tahu, tetapi di Kelantan kita mempunyai royalti minyak dan ia membolehkan hutang berkenaan dihapuskan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pengumuman Pembangunan Kota Bharu Sentral @ Tunjong di Hotel Rennaisance, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan
negeri berkata, hutang yang akan dilupuskan itu melibatkan jumlah yang dipinjam oleh pelajar berkenaan sejak tahun 2005 hingga sekarang.

Dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 di Alor Setar Sabtu lalu, Husam menawarkan bahawa negeri Kelantan akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada PTPTN jika Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Husam membayangkan, bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan yang pada waktu itu diterajui Pakatan Rakyat.

Husam berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja untuk memperkasa perkhidmatan awam – satu tawaran yang dilancarkan Pakatan dalam manifesto Tawaran Jingga.

1,000 peneroka Kesedar berhimpun tuntut keadilan

Posted in Artikel, Kelantan on 17 Januari 2012 by Admin

Dari Harakahdaily

GUA MUSANG, 17 Jan: Selepas lebih 30 tahun berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga kebajikan terabai, akhirnya peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyerah memorandum menuntut hak mereka.

Memorandum yang mengandungi 15 tuntutan peneroka daripada sembilan rancangan kemajuan (RKT) tanah Kesedar diserah Pengerusi Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah (Waris) Kesedar Kelantan, Hamdan Jusoh pagi tadi.

Memorandum setebal tiga muka surat itu diterima Pengurus Besar Kesedar, Arshad Ismail selepas majlis dialog dengan wakil-wakil peneroka.

Sebelum itu lebih 1,000 peneroka daripada sembilan RKT terbabit berarak bermula di Pejabat Agama Gua Musang menuju ke ibu pejabat Kesedar di Bandar Baru Gua Musang.

Mereka hadir beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada Waris bagi membela nasib mereka, selepas mendakwa sekian teraniaya di bawah pengurusan Kesedar.

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter diketuai Hamdan. Hadir sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, Mazlan Aliman, Pengerusi Waris Pusat, Ruslan Ismail dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin.

Antara tuntutan yang dikemukakan Waris termasuk menghapus hutang peneroka Kesedar seperti mana yang dijanjikan, Kesedar hendaklah berlaku adil dalam setiap pembahagian peruntukan projek dan bantuan.

Selain itu Kesedar harus memberi 10 ekar kepada peneroka, peneroka perlu tahu ke mana wang hasil ladang sawit dan getah.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Ruslan berkata, Kesedar perlu memberi penjelasan terperinci kos yang ditanggung peneroka bagi proses tanam semula.

“Peneroka ingin tahu ke mana hasil ladang Kesedar diurus oleh Kesedar Dagang. Kesedar juga perlu menjelaskan ke mana wang pampasan yang dibayar kerajaan untuk tanah peneroka yang terlibat dengan jalan, kabel elektrik dan sebagainya.

“Kesedar juga perlu menjelaskan kos tanam semula bagi setiap hektar kebun. Kami juga memohon Kesedar membayar balik wang lebihan dan hutang yang telah dibayar melalui potongan bayar kembali (BK),” katanya.

Selain itu kata beliau Kesedar perlu menyerah balik jawatan pengerusi Kesedar kepada Menteri Besar Kelantan.

Salinan memorandum yang sama diserah kepada Sultan Kelantan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar Kelantan dan pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar.

Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan ibu pejabat Kesedar mendapat permit polis. Ada beberapa anggota polis berkawal di pintu masuk ke pejabat Kesedar.

Hanya lima wakil peneroka dan kepimpinan Anak dan Waris sahaja dibenarkan masuk.

Sejurus selepas selesai majlis tersebut, seorang peneroka dari Paloh 3, Hamid Awang Kechik, 54 membuat laporan polis ekoran kebun sawitnya seluas ditebang Kesedar biar pun beliau tidak mengizinkan bagi projek tanaman semula.

Sebahagian peneroka yang hadir turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi memberi sokongan kepada Hamid.

Hamid juga meluahkan rasa bimbang perjanjian kedua yang diminta ditandatangani setiap peneroka menyebabkan kebun diusahakan selama ini hilang begitu sahaja.

S/U Agung PKR Saifuddin Nasution bergelar ‘Datuk’

Posted in Artikel on 15 Januari 2012 by Admin

Dari Malaysiakini

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah.

Anugerah itu adalah sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-84.

Saifuddin menerima anugerah itu Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Sementara itu, mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena adalah Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V yang  merupakan penerima tunggal Darjah Kerabat Kedah (DK).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga orang penerima Darjah Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (DHMS) (gelaran Datuk Paduka) ialah pengasas Universiti Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing; Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin; dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Pengarah Urusan United U-Li Corporation Berhad, Datuk James Lee Yoon Wah; Pengarah Jabatan Keselamtan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pesuruhjaya Datuk Salleh Mat Rashid; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt-Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; dan Pegawai Khas Perdana Menteri, Prof Datuk Dr Khairul Annas Jusoh akan menerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) (gelaran Datuk Wira).

Penasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Othman Abd Razak pula merupakan penerima tunggal Darjah Kebesaran Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang juga membawa gelaran Datuk akan dianugerahkan kepada 44 orang manakala 18 lagi menerima Jaksa Pendamai (J.P).

Selain ahli Parlimen Machang, Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail yang dianugerah DSDK; dua anggota Exco kerajaan Kedah, Ustazah Aishah Ghazali dan S Manikumar; ahli Dewan Negara, Senator Boon Som a/l Inong; ahli perniagaan, Datuk Muhammad Ikmal Opat Abdullah; dan Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim juga mendapat pingat yang sama.

Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Paduka Rasli Basir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Isa Ismail serta tiga Exco kerajaan negeri, Datuk Taulan Mat Rasul, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Tan Chow Kang antara penerima JP.