Jiwa penulis surat berlesen


RAMLI (kanan) melayan dua orang pelanggannya untuk menaip surat di hadapan Wisma Persekutuan di Alor Setar, Kedah.

PENULIS surat berlesen. Itu jawatan yang dipegang oleh seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat dengan Askar Melayu Diraja, Ramli Hashim, 73, sebelum bertugas sebagai penulis surat berlesen sejak tahun 1962 sehingga kini.

Selepas bersara awal daripada pasukan tentera pada tahun 1960 atas nasihat ibu bapanya kerana tidak mengizinkan Ramli menyertai pasukan pengaman di Congo, beliau terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menyara kehidupannya sekeluarga bersama seorang isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil ketika itu.

“Memang susah nak cari kerja pada zaman 60-an, permintaan untuk bekerja di pejabat-pejabat amat sengit menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadi seorang penulis surat berlesen.

“Tiada kelayakan khusus diperlukan untuk menjadi seorang penulis surat berlesen pada zaman itu kerana kalau ada kemahiran menaip surat dengan menggunakan mesin taip, sudah memadai,” katanya.

Ironinya, kelibat pekerja penulis surat berlesen hanya akan kelihatan di bangunan-bangunan kerajaan di kebanyakan negeri di negara ini.

Tempat kerja mereka juga fleksibel. Kebanyakan mereka akan meletakkan sebuah payung menjual burger di hadapan bangunan kerajaan dengan sebuah mesin taip bersama dokumen-dokumen penting yang diperlukan orang ramai untuk mengisinya.

Sehinggakan sampai pada satu tempoh tertentu kawasan itu akan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada awal pagi. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk melengkapkan borang seperti pindah milik harta dan kuasa serta pendaftaran kelahiran atau kad pengenalan.

Di Kedah sendiri, Ramli telah berkhidmat di beberapa buah jabatan kerajaan. Antaranya Bangunan Wan Mat Saman, Bangunan Persekutuan dan terkini di Wisma Persekutuan.

Bagaimanapun, menurut Ramli, pekerjaan sebagai penulis surat berlesen itu sudah tidak digemari oleh golongan muda dan hanya dimonopoli oleh mereka yang berusia.

“Kami adalah pelopor dan antara orang terawal melakukan pekerjaan ini.

“Saya rasa pekerjaan ini akan pupus tidak lama lagi kerana golongan muda enggan mewarisinya. Mereka juga beranggapan kerjaya ini tidak glamor dan pendapatannya juga tidak seberapa,” katanya.

Membesarkan anak-anak

Sejak memulakan pekerjaan tersebut pada awal tahun 60-an sehingga kini beliau mempunyai kira-kira enam buah mesin taip yang dibeli pada harga RM70 ketika itu.

“Seingat saya, sudah enam buah mesin taip digunakan sepanjang bekerja sebagai penulis surat berlesen dan kali terakhir saya membelinya empat tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli amat bersyukur kerana dengan wang yang diperoleh hasil pekerjaan tersebut, beliau dapat membesarkan anak-anaknya hingga berjaya.

“Pendapatan dulu memang tidak seberapa. Dulu sehari boleh dapat dalam RM10 sahaja kerana persaingan sebagai penulis surat berlesen amat tinggi berbanding sekarang. Kini saya memperoleh RM30 sehari.

“Lagi pun dulu kebanyakan penulis surat tidak mempunyai lesen dan mereka bekerja sendiri. Cuma sekarang ini sahaja, seseorang itu perlu ada lesen yang dikeluarkan oleh jabatan kerajaan membenarkan untuk membuat kerja-kerja mengisi borang,” katanya.

Adakah Ramli akan berhenti bekerja sebagai penulis surat berlesen? Kata Ramli, selagi dia kuat dan sihat, dia akan tetap meneruskan pekerjaan tersebut kerana ia telah menjadi sebahagian daripada rutinnya.

“Saya ini bukan jenis yang duduk diam di rumah. Walaupun sudah berusia, saya tetap akan datang ke sini untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai tidak kira hujan atau panas.

“Pernah juga anak-anak menegah saya supaya berehat sahaja di rumah tapi saya tidak mahu kerana tugas sebagai penulis surat berlesen sudah sebati dengan hidup saya,” katanya.

Kosmo

Satu Respons to “Jiwa penulis surat berlesen”

  1. Mohon sedekahkan Al- Fatihah utk pakcik Ramli Bin Hashim.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: