Archive for the Kelantan Category

Piala Sumbangsih: RapidKL keluar token khas

Posted in Kelantan, Sukan on 7 Januari 2012 by Admin
Piala Sumbangsih di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Pengusaha perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) RapidKL, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) akan mengeluarkan semula token khas bagi perjalanan pergi balik sempena perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (hari ini).

Menjangkakan kebanjiran kira-kira 30,000 peminat sukan bola sepak bagi menyaksikan perlawanan pembuka tirai Liga Super itu antara juara liga Kelantan dan juara Piala Malaysia Negeri Sembilan di stesen Bukit Jalil, Prasarana mengambil langkah menambah bilangan pekerja untuk menguruskan operasinya.

Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Rel Khairani Mohamed berkata token khas itu akan dijual di semua stesen LRT esok (hari ini).

“Mereka yang mendapatkannya di mesin dinasihatkan membeli token khas agar tidak perlu beratur sekali lagi untuk perjalanan pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati peminat dari Lembah Klang agar membeli token khas dan memilih destinasi terakhir perjalanan mereka tanpa mengira sama ada mereka menaiki LRT ke Ampang atau Kelana Jaya.

Khairani juga menggalakkan penumpang menggunakan kad MyRapid yang akan lebih memudahkan perjalanan untuk semua.

“Berdasarkan pengalaman, kami boleh menjangkakan kehadiran besar-besaran bagi menyaksikan perlawanan itu. Jadi kepada mereka yang belum membeli kad

MyRapid, sila berbuat demikian sekarang dan nikmati perlawanan Sabtu ini tanpa perlu bersusah-payah,” katanya. – BERNAMA

Karathu ramal Kelantan juara

Posted in Kelantan, Sukan on 5 Januari 2012 by Admin

“SAYA ramal Kelantan mampu menewaskan Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih tahun ini.”

Demikian ramalan bekas pengendali The Red Warriors (TRW) 2011, Datuk M. Kara- thu menjelang pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, berdasarkan ramuan pemain yang dimiliki oleh TRW musim ini, skuad bimbingan Peter Butler itu dilihat lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain yang berkualiti.

“Saya lihat musim ini TRW mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah pula dengan pemain sedia ada, Kelantan mampu membentuk gandingan mantap di semua posisi.

“Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tonggak import iaitu Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada ketua jurulatihnya Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih kelak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kemasukan pemain tersebut bakal mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain seterusnya membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Karathu memberitahu, penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini dilihat memberi sedikit kele- bihan kepada Kelantan.

“Begitupun kemampuan skuad bimbingan Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tidak boleh dipandang remah oleh Kelantan. Mereka pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi lawan mereka itu yang juga juara Piala Malaysia musim lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, beliau sempat sempat menonton dua aksi bekas pasukannya itu ketika menentang Persabaya baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan pusingan pertama, Kelantan masih mampu mempamerkan corak serangan dan tidak mudah hilang fokus.

“Begitu juga dalam aksi kedua, walaupun beraksi di atas padang yang tidak berapa baik, namun mereka masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus,” jelasnya. -Kosmo

Setelah 21 tahun, Islam tidak lagi jadi fobia

Posted in Kelantan on 30 Disember 2011 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, 30 Dis: Setelah 21 tahun negeri ini ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam, agama Islam tidak lagi menjadi ‘fobia’ khususnya di kalangan non-muslim.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap generasi muda mempelopori usaha memberi kefahaman sebenar Islam sebagai cara hidup dan agama yang benar diturunkan Allah SWT kepada golongan tersebut.

Kerajaan negeri juga, katanya melakukan sedaya upaya mungkin ke arah menjadikan Al-Quran sebagai dasar pentadbiran negeri dan negara.

“Bahkan kerajaan negeri menjalankan kempen kepada seluruh masyarakat betapa Islam itu agama yang adil.

Meneri Besar berucap pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik) Kali Kedua  2011 di Balai Islam, Lundang dekat sini, petang semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar,  para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan pegawai Yik.

Menteri Besar menaruh harapan tinggi agar pelajar tahfiz muncul sebagai ulama proaktif dalam menyebar luaskan kefahaman Al-Quran kepada masyarakat.

“Lebih jauh dari itu, adalah diharapkan agar hafiz dan hafizah hari ini mewarisi perjuangan dalam menegakkan kandungan Al-Quran di negara ini,” ujarnya.

Sambil menyifatkan bahawa pada masa lalu, bidang tahfiz dipandang sebagai bidang tidak menjanjikan peluang pekerjaan di mana para huffaz hanya sekadar mengajar Al-Quran di madrasah atau masjid, namun Menteri Besar menegaskan kini permintaan cukup tinggi untuk memasuki bidang tahfiz Al-Quran di sekolah tahfiz Yik, termasuk mereka yang datang dari keluarga profesional.

Justeru, Tuan Guru berkata tanggapan bahawa bidang tahfiz Al-Quran tidak menjanjikan masa hadapan yang cemerlang, kini terhakis dari masyarakat.

Kelantan tandatangan 6 MoU pembangunan

Posted in Kelantan on 21 Disember 2011 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, : Sebanyak enam perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dengan beberapa buah syarikat swasta untuk enam program pembangunan rakyat di negeri itu.

Perjanjian persefahaman itu meliputi program modal insan, industri multimedia, animasi, akademi filem Islam kreatif, penubuhan wings coffee, salon dan latihan pembangunan industry kreatif.

Majlis perjanjian persefahaman itu diwakili oleh wakil-wakil kerajaan negeri dan syarikat swasta terbabit, Universiti Kreatif Limkokwing, profima, Wings Coffee Sdn Bhd, Making Headlines Design Sdn Bhd dan Zentrum Future Studies.

Perjanjian berkenaan diadakan sempena majlis perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif Kelantan 2011 yang diadakan selama dua hari bermula 20 Disember di KTC pagi semalam.

Sebanyak 30 gerai yang mewakili syarikat-syarikat kreatif Kelantan dan luar mempamerkan produk masing-masing pada program yang bertemakan ‘Kuasa Anak Muda Pemangkin Industri Kreatif’.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata program ini berpeluang anak-anak muda Kelantan untuk mempamerkan bakat kreatif mereka kepada umum.

Katanya, pada masa yang sama ianya juga bertujuan untuk memberi peluang anak muda Kelantan mempelajari pelbagai ilmu kemahiran kreatif seperti batik, fotofrafi, seramik, ukiran kayu dan berbagai lagi.

“Ianya dapat menjana pendapatan keluarga melalui kemahiran yang ada,”ujarnya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob.

Pensyarah: Rakyat Kelantan masih perlukan Nik Aziz

Posted in Kelantan on 13 Disember 2011 by Admin

Dari Harakahdaily

SHAH ALAM, : Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menyifatkan akhlak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh yang tiada tandingan.

Katanya, sikap kesederhanaan yang ditujunkkan Menteri Besar Kelantan itu sukar dicari pada pemimpin lain khususnya di Malaysia sekarang.

Bukan sahaja sukar dibanding dengan pemimpin lain dalam Umno, malah juga sukar untuk dibandingkan dengan pemimpin PAS yang lain.

“Bagi saya kepimpinan yang ditujukkan oleh kepimpinan Nik Aziz memang tidak ada tandingan, malah sikap kesederhanaan yang ditunjukkan olehnya itu terlalu sukar untuk kita temui pada masa sekarang,” katanya dalam Wacana Sinar Harian, PRU13: Undi Siap Jadi Penentu di sini.

Menurutnya lagi, atas faktor itu juga Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu masih releven untuk terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Malah katanya, tokoh PAS itu masih mendapat sokongan majoriti rakyat negeri Kelantan yang diperintah beliau sudah lebih 20 tahun.

“Kita melihat beliau masih lagi disokong oleh seluruh rakyat di Kelantan dan ini tiada sebab untuk beliau tidak bertanding pada PRU13 nanti.

“Saya melihat faktor usia beliau tidak pernah menghalang apa yang beliau lakukan sekarang, malah mengikut kajian sokongan rakyat Kelantan terhadapnya melebihi 80 peratus,” katanya lagi.

Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, beliau juga secara peribadi ada memberitahu Nik Aziz agar tidak perlu berundur walaupun terdapat desakan dari pihak tertentu.

Desakan-desakan tersebut ujarnya hanyalah membaitkan kepentingan politik sahaja, sedangkan apa yang penting adalah sokongan dari semua pihak yang masih mahu beliau menjadi menteri besar di Kelantan.

“Apabila menyebut tiada tandingan maka beliau perlu bertanding, desakkan hanyalah permainan politik semata-mata.

“Rakyat Kelantan masih mahu beliau terus tadbir negeri tersebut dan saya yakin beliau mampu memerintah untuk lima tahun yang akan datang,” tambahnya dalam sidang media selepas selesai wacana itu.

PRU13: Kerusi PAS, PKR di Kelantan kekal

Posted in Kelantan on 7 Disember 2011 by Admin

Dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, : Pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, antara PAS dan PKR di Kelantan selesai sepenuhnya.

Mengesahkan perkara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) berkata, kedua-dua parti masing-masing telah bersetuju untuk mengekalkan ‘staus quo’ seperti PRU ke-12 pada 2008 lalu.

“Ya, kita sudah selesai dengan kedua-dua parti bersetuju untuk kekalkan status quo seperti sebelum ini.

“Kita (PAS) setuju dan PKR pun setuju,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, keputusan yang dicapai kira-kira dua bulan lalu itu juga bersetuju untuk mengekalkan kerusi kawasan bertanding masing-masing seperti mana 2008 tanpa sebarang perubahan.

“Dari sudut kawasan bertanding juga kita setuju kekal dan tiada perubahan,” katanya lagi sambil memberitahu keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Pakatan Rakyat di peringkat Pusat,

Pada PRU 2008, PAS bertanding di 51 kerusi iaitu 11 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun, manakala PKR pula bertanding di lapan kerusi iaitu tiga Parlimen dan lima Dun.

13 kerusi parlimen yang ditandingi PAS adalah, Kuala Krai, Gua Musang, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pengkalan Chepa dan Jeli.

Kerusi Dun pula adalah Kelaboran, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kijang, Chempaka, Panchor, Tanjung Mas, Kota Lama, Bunut Payong, Tendong, Pengkalan Pasir, Chetok, Meranti, Gual Periok, Bukit Tuku, Salor, Pasir Tumboh, Demit, Tawang, Perupok, Jelawat, Melor, Kadok, Kok Lanas, Bukit Panau, Gual Ipoh, Kemahang, Selising, Limbongan, Semerak, Gaal, Pulai Chondong, Temangan, Kemuning, Bukit Bunga, Air Lanas, Mengkebang, Manik Urai, Dabong dan Galas.

Kerusi Parlimen bagi PKR pula adalah Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala Dun pula adalah Paloh, Nenggiri, Guchil, Pengkalan Kubor dan Kuala Balah.

Selain Kelantan, Pakatan Rakyat Selangor juga sebelum ini memaklumkan telah selesai pembahagian kerusi di negeri itu.

Ketiga-tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP juga masing-masing bersetuju mengekalkan jumlah kerusi mengikut pilihan raya umum yang lalu.

Norshahrul tak ikut jejak Safee

Posted in Kelantan, Sukan on 1 Disember 2011 by Admin

TERBAIK...Annuar (kanan) menyampaikan Anugerah Supermokh kepada Norshahrul semalam.

PENYERANG Terbaik 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak berminat mengikut jejak langkah rakan baiknya, Mohd Safee Sali berhijrah ke Indonesia meskipun mengakui menerima banyak tawaran lumayan beraksi bersama kelab Liga Super negara jiran itu.

Dia yang turut menerima anugerah Supermokh selaku Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 semalam menyatakan tidak tertarik untuk beraksi di Indonesia, sebaliknya lebih berminat untuk mewakili kelab di Vietnam atau Thailand.

“Saya mendapat banyak tawaran daripada kelab Indonesia sejak Safee mula berpindah ke negara itu. Tapi bagi saya sendiri, saya sebenarnya lebih berminat untuk beraksi di Vietnam atau Thailand.

“Buat apa saya mahu pergi ke Indonesia sebab kita lebih baik berbanding mereka. Sukan Sea pun kita boleh mengalahkan mereka. Kalau hanya sebab sokongan penyokong kelab di sana bagus, penyokong di Kelantan juga bagus,” katanya yang ditemui pemberita semalam.

Norshahrul, 25, yang turut senang disapa dengan panggilan Mat Yo mengakui dirinya masih mahu memberikan komitmen bersama juara Liga Super, Kelantan selepas menandatangani kontrak baru selama dua tahun.

Dia yang meledak 19 gol musim lalu bagaimanapun terkejut dengan anugerah Supermokh yang diterimanya itu kerana menjangkakan rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat turut berpeluang cerah.

“Saya sebenarnya terkejut kerana menerima anugerah Supermokh yang pertama kali diperkenalkan tahun ini kerana Apek (Khairul Fahmi) beraksi banyak perlawanan. Apapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu,” katanya yang turut meraih dua anugerah sama tahun lalu.

Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Norshahrul mahu memberi fokus untuk membantu Kelantan merebut trofi di peringkat domestik dan juga dalam kempen kejohanan Piala AFC.

Malah dia turut berazam membantu skuad kebangsaan mempertahankan Piala AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan serta muncul pemain paling bernilai kejohanan dwitahunan itu.

“Saya berharap agar Malaysia dapat mengekalkan kejuaraan (Piala AFF) dan sasaran peribadi saya adalah untuk merampas anugerah pemain terbaik kejohanan itu yang diraih pemain Indonesia, Firman Utina,” katanya.-Hmetro

Norshahrul Idlan Talaha menerima anugerah Pemain Paling Bernilai ‘Supermokh’

Posted in Kelantan, Sukan on 30 November 2011 by Admin

 

Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat membanggakan semua penyokong The Red Warriors apabila membawa pulang tiga anugerah dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM/100 Plus 2011 di Holiday Inn, Glenmarie Golf and Country Club, tengahri tadi.
Norshahrul Idlan menerima anugerah penyerang terbaik dan pemain paling bernilai atau Supermokh manakala Khairul Fahmi Che Mat pula seperti dijangka menjadi penerima anugerah penjaga gol terbaik.Bagi kategori lain, Shafiq Rahim membuktikan status selaku pemain tengah terbaik negara apabila menerima anugerah pemain tengah terbaik disamping Norhafiz Zamani Misbah mendapat pengiktirafan selaku pemain pertahanan terbaik negara.Pemain harapan pula disandang pemain dari skuad Harimau Muda A, Wan Zack Haikal.

Irfan Bakti yang membawa Terengganu menjulang Piala FA dan naib juara Piala Malaysia serta Liga Super mendapat anugerah jurulatih terbaik.

Dua pasukan dari Lembah Klang, Selangor FA dan PKNS Selangor pula diiktiraf persatuan dan kelab terbaik negara pada musim kali ini.

Berikut adalah keputusan penuh bagi 
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.
Kelab Terbaik
PKNS Selangor
FA Terbaik
Selangor FA

Pemain Harapan
Wan Zack Haikal
Jurulatih Terbaik
Irfan Bakti
Penyerang Terbaik
Norshahrul Idlan Talaha
Pemain Tengah Terbaik
 Shafiq Rahim
Pertahanan Terbaik 
NorHafiz Zamani Misbah
Penjaga Gol Terbaik
Khairul Fahmi Che Mat
Pemain Paling Bernilai @ Supermokh
Norshahrul Idlan Talaha.

 

Sumber redsfcnews

Rumah hadiah Kelantan kepada ‘Apek’ siap

Posted in Kelantan, Sukan on 30 November 2011 by Admin

KOTA BHARU, :Kediaman khas untuk penjaga gawang pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau ‘Apek’ yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kini siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood , berkata majlis penyerahan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini sebentar tadi.

“Kebetulan semalam pegawai dari Syarikat Binaraya milik PKINK menghubungi saya memberitahu kediaman untuk Khairul Fahmi sudah siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun kita terpaksa menentukan tarikh yang sesuai antara Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Khairul Fahmi sendiri,” ujarnya.

Fatah seterusnya memberitahu, Tuan Guru mencadangkan majlis jamuan diadakan pada hari berkenaan sebagai tanda kesyukuran.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengisytiharkan untuk menyerahkan sebuah rumah kepada bintang bola sepak itu berikutan kecemerlangannya pada Kejohanan Piala Suzuki AFF yang menyaksikan pasukan negara muncul juara.

Kediaman berkenaan terletak di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa setelah ia mula didirikan tahun ini.

Menjawab soalan, beliau memberitahu kediaman berkenaan tiada kaitan dengan masaalah peribadi jaguh bola sepak berkenaan sebelum ini.

“Bagaimanapun kita berharap beliau lebih berhati-hati selepas ini kerana sebagai seorang bintang sahsiah diri perlu dijaga sebagaimana yang dikehendaki oleh kerajaan negeri khususnya Tuan Guru.

“Golongan ini menjadi cermin masyarakat, kerana itu mereka perlu menonjol syahsiah  yang murni.  Untuk itu kami juga mengharapkan bantuan para media supaya membantu kerajaan negeri untuk mengingatkan mereka agar lebih berhati-hati,” ujarnya.

‘Tanya Cina Kelantan, adakah saya khianati mereka’

Posted in Kelantan on 29 November 2011 by Admin

Dari Harakahdaily

KOTA BHARU, : Seramai 40 orang peserta rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Parit Buntar menegaskan mereka tetap akan menyokong perjuangan di hadapan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka menyatakan demikian sempena lawatan rasmi mengunjungi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, di kediaman rasmi, di sini petang ini.

Rombongan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum wanita serta bekas penyokong MCA diketuai Pengerusi DHPP kawasan tersebut, Ricky Tang.

(Gambar: Tuan Guru menerima cenderahati daripada Ricky Tang.)

Ricky dalam ucapannya memberitahu, masyarakat bukan Islam di negeri ini khususnya kaum Cina sering diberi bayangan buruk berhubung perjuangan PAS dengan tujuan menakutkan mereka.

“Bagaimanapun, semakin mereka ditakuti sokongan terhadap PAS semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pihak lawan sudak tidak boleh berbuat apa berhubung ledakan sokongan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan terbabit meninjau perkembangan kehidupan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini sejak 21 tahun lalu melalui golongan terbabit.

“Tuan-tuan boleh bertanya masyarakat Cina Kelantan, adakah saya selaku ketua kerajaan mengkhianati mereka sama ada dari segi ekonomi, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya?

“Tuan-tuan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang tidak tepat dari orang tertentu tanpa merujuk sendiri dari masyarakat bukan Islam di negeri ini,” ujarnya.

Tuan Guru turut melahirkan rasa bertuah serta terima kasih kerana sudi mengunjunginya, walaupun dalam keadaan demam, namun kerana rasa gembira untuk bertemu masyarakat terbabit, beliau gagahi juga.