Sumber protein ciptaan saintis


SEKUMPULAN saintis di Eropah kini sedang mengkaji cara baharu menangani masalah kekurangan bekalan daging di seluruh dunia. Dikenali sebagai daging berkultur, ia membolehkan burger dan sosej dihasilkan dalam ceper-ceper makmal berbanding kaedah tradisional iaitu menyembelih haiwan-haiwan yang diternak.

Dakwa para saintis, ia mungkin adalah jawapan kepada masalah kebuluran penduduk dunia, menyelamatkan alam sekitar dan mampu menggantikan berjuta-juta nyawa haiwan.

Bagaimanapun, daging berkultur itu masih jauh perjalanannya untuk direalisasi dan harganya sudah tentu mahal.

Menurut ahli biologi vaskular Universiti Maastricht, Belanda, Mark Post, hamburger makmal pertama berharga lebih kurang euro 250,000 (RM1,058,992.77) untuk dihasilkan dan berharap lebih banyak pilihan hidangan dapat dihasilkan.

“Hasil yang pertama akan menjadi bukti bahawa konsep ini boleh berjaya. Saya percaya ia boleh dilakukan pada masa hadapan,” kata Post kepada pemberita Reuters.

Sumber protein

Ia mungkin kedengaran seperti tiruan tetapi daging in-vitro dalam makmal atau berkultur adalah produk haiwan yang tulen sama seperti yang asal cuma ia tidak dalam bentuk asal.

Ia juga berbeza dengan daging tiruan yang diperbuat daripada sayur seperti soya sebagai sumber protein pengamal vegetarian.

Ramai pakar berpendapat, potensi daging tersebut mampu menyelamatkan banyak nyawa haiwan, tanah, air dan tenaga sekali gus bumi mendapat faedah yang sangat banyak.

Daging itu juga menggunakan sel-sel stem yang dituai daripada lebihan haiwan dari rumah penyembelihan. Pada peringkat awal, ia direka dengan menambah gula, asid amino, lipid, mineral dan pelbagai nutrien lain supaya dapat membiak bersama-sama.

Setakat ini, Post telah berjaya menghasilkan jalur-jalur daging yang kelihatan seperti otot berwarna pucat berukuran panjang kira-kira 2.5 sentimeter dengan lebar kurang daripada 1 sentimeter. Ia terlalu nipis sehingga cahaya boleh menembusinya.

Kata Post, lebih kurang 3,000 keping daging disusun bersama beberapa keping lemak yang juga dihasilkan dalam makmal akan memberikan anda daging berkultur pertama di dunia.

“Daging pertama dihasilkan dalam makmal akademik oleh kakitangan yang terlatih. Ia buatan tangan dengan penggunaan masa yang lama dan ketelitian pekerja menyebabkan harganya terlalu mahal,” ujar Post.

Tambahnya, daging in-vitro tidak mengandungi darah dan kurang berwarna, jadi ia nampak kurang menyelerakan serta kelihatan seperti kerang.

WALAUPUN pengeluaran daging semakin meningkat, bekalan daging dunia sentiasa berdepan masalah kekurangan sumber protein itu.

Seperti kebanyakan otot, kepingan daging itu perlu diperkaya. Post telah memberi sedikit senaman terhadap daging tersebut dengan mengenakan daya tegang dan kecut dalam piring beralas Velcro supaya daging tersebut mendapat kekuatan.

Penyokong idea daging buatan manusia seperti ahli biologi, Universiti Linkoping, Sweden, Stellan Welin berkata, idea tersebut sangat baik berbanding penternakan haiwan secara besar-besaran di ladang ternakan.

Hampir semua ladang ternakan haiwan menggunakan hormon dan antibiotik yang bertujuan meningkatkan keuntungan. Paling kontroversi ialah cara memproses daging yang dikatakan kejam dan tidak cekap.

Setiap 15 gram pengeluaran daging, haiwan perlu diberi makan protein sayur-sayuran lebih kurang 100 gram dan kesannya boleh menganggu ekosistem.

Ujar Welin, keperluan untuk mencari cara baharu menghasilkan daging sangat penting terutama permintaannya di seluruh dunia.

Rumah hijau

“Mungkin kita boleh menjadi vegetarian atau mengurangkan makan daging. Tetapi, trend orang ramai tidak begitu. Dengan daging berkultur, kita boleh menjadi konservatif tanpa melakukan banyak kerosakan,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengeluaran daging tahunan meningkat dari 218 juta tan pada tahun 1997 hingga 1999 ke 376 juta tan pada tahun 2030. Permintaan daging oleh populasi dunia dilihat meningkat lebih daripada jangkaan yang dibuat.

“Bekalan daging ketika ini tidak mapan dari sudut ekologi atau jumlah bekalan. Saat ini, kita menggunakan lebih 50 peratus daripada jumlah tanah pertanian untuk tujuan itu.

“Caranya sangat mudah untuk menangani masalah tersebut. Kita perlu ada jalan alternatif,” kata Post.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFAO), industri perladangan menyumbang perubahan cuaca, pencemaran udara, penggunaan tenaga berlebihan, penggondolan hutan dan mengganggu ekosistem.

Laporan bertajuk Livestock’s Long Shadow dipetik berkata, industri daging menyumbang 18 peratus pencemaran kesan rumah hijau global dan ia dijangka terus meningkat terutama di negara-negara yang pantas membangun seperti China dan India.

Hanna Tuomisto yang banyak menjalankan kajian mengenai kaitan impak persekitaran terhadap daging seperti lembu, babi, kambing dan daging berkultur berkata, kepingan daging yang dihasilkan dalam makmal itu merupakan paling kurang memberi kesan pada alam sekitar.

Dalam analisisnya yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science and Technology awal tahun ini, daging in-vitro hanya menggunakan kurang tenaga iaitu antara 35 hingga 60 peratus.

Ia juga mengeluarkan 80 hingga 95 peratus kurang kesan rumah hijau dan menggunakan 98 peratus tanah berbanding penghasilan daging secara konvensional.

“Kami tidak mengatakan sekarang ia boleh atau perlu menggantikan penggunaan daging konvensional dengan daging berkultur.

“Tetapi, ia boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah sumber makanan populasi dunia dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pencemaran dan penggunaan tenaga dan air,” kata Tuomisto yang mengetuai Unit Penyelidikan Konservasi Hidupan Liar, Universiti Oxford.

DAGING berkultur yang dibiakkan dalam makmal ini tidak mengandungi darah dan kurang berwarna.

 

Rasa

Ramai pakar bersetuju bahawa produk daging seperti sosej dan nuget menggunakan daging in-vitro boleh direalisasi dalam tempoh beberapa tahun, manakala daging stik dan chop pula memerlukan lebih banyak tahun untuk dibangunkan.

Post dibiaya oleh seorang penyumbang yang enggan dikenali dan dia berharap hamburger buatan manusia itu menjadi hidangan orang ramai pada bulan Ogos atau September tahun hadapan.

Walaupun sampel makanan masih lagi belum dibuat tetapi reviu awal yang diterima kurang memberangsangkan. Seorang wartawan Rusia pernah mencuba satu kepingan dan reaksi yang diberi amat mengecewakan.

“Rasanya belum disedapkan. Perlu banyak kajian dan ujian rasa tidak penting,” kata Post.

Post yakin dengan penambahan jenis lemak pada jumlah yang tepat bakal menjadikan fizikal dan rasa sama seperti daging sebenar.

Dia juga berharap kebolehan menukar kandungan nutrien menjadikan hidangan daging itu lebih sihat seperti mengurangkan kandungan lemak tepu dan menambah lemak tidak tepu serta nutrien lain.

“Ideanya ialah daging yang dihasilkan dalam makmal boleh dipelbagaikan kandungannya dan ia memberi harapan untuk menghasilkan daging sihat.

“Daging lembu dan babi yang sebenar sangat terhad untuk diubah suai kandungannya,” katanya. -Kosmo

Satu Respons to “Sumber protein ciptaan saintis”

  1. Blog yang sangat baik dengan bahan bacaan yang berinformasi dan bermutu…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: