PAS-Umno satu pasukan bukti BN khianati Kelantan


Dari Harakahdaily
Oleh: Aziz Muda

KUALA LUMPUR, : Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa urusan kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan pasti menjadi lebih mudah dan “mengindahkan” jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan, disifatkan sebagai salah satu bukti jelas pengkhianatan Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan selama ini.

Sebaliknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau patut malu kerana membuat kenyataan seperti itu kerana ia jelas memperlihatkan sikap sebenar para pemimpin Umno BN yang tidak bertanggungjawab dan ingin lari dari melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan kenyataan Muhyiddin itu jelas menunjukkan Umno BN segaja tidak mahu membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan disebabkan perbezaan parti antara kerajaan negeri yang berada di bawah PAS dan Kerajaan Persekutuan yang kini berada di bawah BN.

Menurut beliau, pada hal tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan undang-undang dan bertentangan sama sekali dengan perjanjian yang telah dimetrai antara Kerajaan Kelantan dan Petronas.

Katanya, dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan perlu faham dengan perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas itu, tetapi kenyataan Muhyiddin itu jelas membuktikan beliau tidak memahaminya.

“Sememangnya amat memalukan jika seorang Timbalan Perdana Menteri tidak memahami perkara itu sehingga tergamak membuat kenyataan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kelmarin, Muhyiddin dalam sesi dialog pada majlis perjumpaan khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri oleh 1,000 warga pendidik di Pusat Dagangan Kelantan berkata, urusan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pasti akan menjadi lebih mudah “dan mengindahkan” jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan.

Seperti yang dilaporkan media tempatan, beliau berkata, perkara itu akan lebih mudah jika kedua-dua parti dapat bekerjasama tanpa perlu berselisih faham terutama dalam soal pengurusan negeri.

“Ia akan mengindahkan jika kita boleh jadi pasukan bersama,” katanya dalam reaksi kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kawasan Limbungan, Zainuddin Awang Ahmad mengenai bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Muhyiddin itu jelas membuktikan keengganan Kerajaan BN membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan disebabkan tidak berada dalam satu pasukan, tetapi ia pasti menjadi sebaliknya sekiranya kedua-dua pihak berada dalam satu pasukan.

“Disebabkan tidak berada dalam satu pasukan, BN sanggup menganiaya rakyat Kelantan sehingga tergamak memejamkan mata dengan perjanjian sah yang dimetrai antara Kerajaan Kelantan dan Petronas.

“Pada hal Kerajaan Persetuan tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Ini bukan sekadar satu pelarian tanggungjawab, tetapi juga satu perlanggaran terhadap konsep federalisme,” tegasnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang amat kesal kerana sebelum ini Muhyiddin juga pernah mengeluarkan kenyataan yang amat memalukan mengenai bekalan air di Kelantan, dengan mengatakan segala masalah berkaitan dengannya boleh diatasi dengan mudah jika Kelantan dirampas oleh BN.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata, punca masalah air di Kelantan itu berlaku disebabkan kerajaan Kelantan tiada wang untuk menyelesaikannya, berbanding Kerajaan Persekutuan yang mempunyai banyak wang.

“Dalam masa yang sama, seluruh rakyat Kelantan khasnya dan rakyat negara ini tahu, Kerajaan Persekutuan sendiri yang sememangnya melakukan pengabaian terhadap bantuan untuk kerajaan Kelantan sehingga kerajaan Kelantan tidak mempunyai banyak wang,” katanya.

Itulah sikap sebenar Umno atau Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan, tambahnya, yang sememangnya mencipta pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat Kelantan, termasuk memberikan alasan disebabkan perbezaan parti.

“Pada hal, alasan seperti itu tidak sepatutnya ditimbulkan sama sekali. Sebaliknya dalam masa yang sama, semua orang tahu, segalanya berpunca dari kedudukan Umno BN sendiri yang kini semakin ditolak oleh rakyat, tetapi berpura-pura semakin kuat sehingga Muhyiddin sendiri mengatakan BN boleh mencapai kejayaan cemerlang jika PRU Ke-13 diadakan sekarang,” katanya.

Sekiranya benar-benar kuat, tegasnya, Umno BN tidak perlu mencipta alasan itu untuk mengajak PAS bersatu dengannya, tetapi perlu membuktikannya dengan melakukan reformasi dalam pilihanraya di negara ini dengan antara lain melaksanakan 8 tuntutan Bersih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: