PAS ucap tahniah kepada an-Nahdah Tunisia


KUALA LUMPUR, : PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia semalam.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) juga berharap kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Sebenarnya, kata beliau An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi.

“Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan an-Nahdah itu.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Parti An-Nahdhah di Tunisia di dalam pilihanraya umum semalam. Semoga dengan kemenangan ini, Islam lebih bersinar di bumi Tunisia,” ujarnya melalui twitter.

Paling penting, katanya keadilan dan kebajikan rakyat terbela di bawah pemerintahan yang adil berteraskan syariat Islam.

“Sesungguhnya di mana saja berlakunya kepekatan malam, akan tiba juga fajar yang menyinsing,” ujarnya.

Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP.

“Keputusan pertama yang disahkan menunjukkan al-Nahda telah mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan di kebanyakan daerah,” kata pengurus kempen parti al-nahda, Abelhamid Jlassi, pada sidang akhbar, memetik laporan sendiri pemerhati pilihan raya al-Nahdah.

Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak berhaluan kiri, Parti Kongres Republik (CPR) dan Ettakol, berkata, mereka berjuang untuk tempat kedua, manakala pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mengakui kekalahan pada petang Isnin.

“Al-Nahda pastinya majoriti, tetapi terdapat dua entiti demokratik lain, Ettakatol dan CPR, yang lemah pada permulaan tetapi kini mendapati diri mereka dalam kedudukan untuk menyumbang kepada kehidupan politik dan menyambut kemodenan rasional dalam Arab-Islam negara, “kata Khalil Zaouia, pemimpin nombor dua parti Ettakatol.

Samir Dilou, ahli biro politik al-Nahda, berkata bahawa partinya telah memenangi tidak jauh daripada 40 peratus undi.

Pada hari mengundi pilihan raya bebas pertama Tunisia kelihatan orang ramai menunjuk-nunjuk jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal berwarna biru mereka selepas membuang undi, menunjukkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikutan kemenangan Parti An-Nahdah dalam pilihan raya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ganouchi.

Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi sendiri.

Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ganouchi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Sedunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat.

Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding.

Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti.

Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah.

Ini kerana mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan.

Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.

Dari Harakahdaily

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: