DAP gesa polis siasat tawaran ‘wakil PM’


KUALA LUMPUR, : Pihak polis digesa menyiasat dengan terperinci pengakuan pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Siasatan terperinci pihak polis mengenai dakwaan itu amat perlu bagi mendapatkan kesahihannya kerana jika benar pihak-pihak terbabit mewakili Perdana Menteri, ia ternyata membabitkan penyalahgunaan kuasa yang amat serius dari Perdana Menteri.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee (gambar) berkata, dalam masa yang sama, Pejabat Perdana Menteri perlu menjawab dengan segera dakwaan pihak-pihak terbabit yang mendakwa mewakili Perdana Menteri.

Menurut beliau, sekiranya mereka berbohong atau menipu, tindakan keras perlu dikenakan terhadap pihak-pihak terbabit kerana melakukan kesalahan besar menyamar sebagai wakil kepada Perdana Menteri.

Katanya, Pejabat Perdana Menteri tidak seharusnya mengambil masa yang lama untuk menjawab perkara itu kerana ia merupakan perkara amat serius yang membabitkan kepentingan negara.

“Sekiranya benar pihak-pihak terbabit itu mewakili Perdana Menteri, Perdana Menteri perlu didakwa oleh Peguam Negara kerana telah menyalahgunakan wang kerajaan untuk kepentingan politiknya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat parti.

Menurutnya, seorang lelaki yang pertama kali menghubunginya melalui telefon pada 26 September lalu dan mendakwa sebagai setiausaha agung persatuan klan Wee Johor Baru, juga memberi jaminan bahawa Gwee akan diberi sokongan jika bertanding menentang DAP dalam pilihan raya umum.

Pada sidang akhbar itu, Adun yang mewakili salah satu kerusi dalam Parlimen Bakri, Muar, Johor itu turut mendedahkan trankrip rakaman perbualan telefon antara beliau dengan ‘ejen’ terbabit.

Katanya, ‘ejen’ tersebut yang mendakwa mewakili Perdana Menteri berkata, wang tawaran itu akan datang dari pusat, tetapi akan disalurkan melalui persatuan berkenaan.

Pada sidang akhbar itu juga, Gwee turut memperdengarkan satu lagi rakaman perbualan antara beliau dan pihak terbabit dalam bahasa Mandarin pada 30 September lalu.

Menurut Tony, pendedahan yang dibuat oleh Gwee itu sememangnya sesuatu yang serius yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak terbabit.

Tindakan pihak terbabit itu, tegas beliau, adalah satu tindakan yang amat tidak berintegriti dan tidak beretika, tetapi pernah dilakukan oleh pihak tertentu sebelum ini untuk mempengaruhi beberapa orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat termasuk dari DAP, termasuk yang berlaku di Perak.

“Tetapi saya yakin, wakil-wakil rakyat dari DAP yang berada dalam DAP sekarang mempunyai pendirian yang teguh, sama seperti Gwee, yang tidak akan terpengaruh dengan tawaran sedemikian,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Selain wakil-wakil rakyat dari DAP, beliau juga yakin wakil-wakil rakyat yang berada dalam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat sekarang termasuk dari PAS dan PKR tidak akan terpengaruh dengan tawaran-tawaran istimewa dari pihak tertentu supaya mereka keluar dari Pakatan Rakyat.

Harakahdaily

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: