Penginapan Bajet Aset Moscow


MOSCOW mempunyai prospek pelancongan yang baik tetapi ramai pengembara yang merungut kerana tidak mempunyai pilihan penginapan yang kadarnya berpatutan. – Gambar hiasan

DAHULU, para pelancong yang tiba di Moscow tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali membayar penginapan di hotel-hotel yang mahal. Kini, terdapat pilihan lain iaitu hostel-hostel moden yang semakin bertambah sejak lima tahun lalu.

Hostel-hostel moden itu menyediakan bilik-bilik ala asrama yang bersih dan mengenakan bayaran penginapan pada harga murah iaitu lebih kurang AS$20 (RM59.70) untuk satu malam.

Berdasarkan kepada angka yang dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa pelancongan, semua hostel di Moscow menawarkan lebih 3,000 buah katil dan angka tersebut semakin meningkat hampir satu per tiga sejak bulan Mei lalu.

“Lokasinya sangat bagus dan harganya juga murah,” kata pelajar dari Mexico, Carolina Felton, 22, yang melancong ke Moscow dan berkongsi bilik dormitori, ruang mandi dan dapur bersama-sama tujuh orang lain.

“Hotel terlalu mahal berbanding harga yang saya mampu bayar,” ujar seorang lagi pelajar dari British, Mike Loader yang datang ke Moscow untuk melawat dan mengkaji sejarah Soviet. Dia menyifatkan bandar tersebut terlalu mahal dan bersifat premium.

Kedua-duanya menetap di sebuah hostel yang dekat dengan tempat yang menjadi tarikan pelancong di bandar itu, iaitu laluan pejalan kaki Arbat.

Bilik hostel itu boleh memuatkan lebih kurang 30 orang dengan kemudahan 12 buah katil. Bayaran penginapan pula sangat rendah iaitu 550 ruble (RM57.04) untuk satu malam.

Pemilik hostel tersebut, Daniil Mishin, 18, berasal dari Ukraine telah pun memiliki beberapa hostel lain yang turut sama dimiliki oleh ahli keluarganya.

Sambutan baik

BILIK dormitori yang boleh memuatkan ramai tetamu di Bear Hostel, Moscow.

Dia mendapat idea membuka hostel murah itu ketika sedang mengembara di seluruh Eropah dan mengambil keputusan mengadaptasi konsep tersebut di Moscow.

Kini, Mishin dan keluarganya telahpun membuka tujuh buah hostel yang terletak di Moscow dan kampung halamannya, Sevastopol, Crime.

Menurut Mishin, perniagaannya berjalan dengan baik terutamanya dengan pembukaan hostel terbaharu di Moscow pada awal Ogos lalu.

Kadar kemasukan pelancong untuk menginap pada waktu sekarang amat memberangsangkan dengan lebih kurang 80 peratus katil sudah ditempah manakala tempahan penginapan pula telah diterima sebulan lebih awal.

Menurut ahli jawatankuasa pelancongan, ketika ini, bandar tersebut sudah mempunyai 59 buah hostel moden dengan 14 daripadanya baru dibuka sejak bulan Mei lalu.

Hostel pertama dibuka pada tahun 2006 manakala hostel terbesar pula akan dibuka pada hujung tahun ini di kawasan pejalan kaki yang menjadi tumpuan orang ramai, jalan Stoleshnikov Pereulok. Dalam perancangan, hostel tersebut mempunyai kapasiti sebanyak 153 buah katil.

“Sekarang semuanya telah berubah dan pasaran hostel menjadi ‘gila’,” Mishin membuat kesimpulan.

Tambahnya, setahun lalu, kebanyakan tetamu adalah pelancong muda yang mempunyai bajet terhad dan persepsi tersebut semakin berubah.

“Mereka terdiri daripada orang-orang yang berbeza umur, pekerjaan dan kedudukan sosial,” komen Mishin mengenai tetamu hostelnya.

Masalah

Baru-baru ini, kelihatan beberapa rakyat Rusia sudah mendaftar masuk untuk menginap di hostel.

“Sebelum ini, tiada siapa mengetahui mengenai hostel. Hanya sejak setahun lalu, barulah mereka mula menyedarinya. Penduduk Rusia baru sedar bahawa dengan bayaran serendah 500 ruble (RM51.76) semalam, mereka boleh mendapat penginapan yang selesa di tengah-tengah pusat bandar.

Konsep hostel tidak pernah wujud sepanjang era Soviet. Pengembara hanya akan tinggal di hotel-hotel yang besar. Ada pula yang berpendapat bahawa bilik dormitori ringkas hanyalah untuk pelajar dan pekerja asing serta tidak sesuai dihuni pelancong.

MISHIN yakin pada masa depan bisnes penginapan bajet rendah di Moscow.

Selain itu, disebabkan oleh kekangan mendapatkan visa, kedatangan pelancong ke Rusia secara relatif amat rendah. Idea tempat penginapan yang murah dan ringkas susah untuk diterima. Sehingga kini, masih tiada perkataan Rusia yang merujuk kepada konsep tersebut yang dipanggil khostel.

Hostel memainkan peranan yang penting mengisi kekosongan di bandar tersebut. Menurut hasil kajian, kadar harga penginapan purata di hotel dan destinasi pilihan utama untuk satu malam menelan kos sehingga 149 pound (RM725) pada tahun 2010.

Sebagai perbandingan, kadar purata harga bilik hotel di Dubai adalah 120 pound (RM583) dan di London pula berharga 114 pound (RM554) manakala di Prague pula, purata kos hotel hanya 67 pound (RM326).

Salah seorang ahli jawatankuasa pelancong di Moscow, Gurgen Mkrtchyan berkata, hostel-hostel itu bakal merangsang industri pelancongan terutamanya dengan kemasukan para pengembara bebas yang terdiri daripada orang muda dan para pelajar.

Tegasnya, perkhidmatan hostel masih lagi berada pada tahap awal pembangunan kerana ia hanya mampu menyediakan tempat penginapan yang terhad iaitu kira-kira 2,600 buah katil.

Harga tanah

Meskipun bilangan hostel semakin bertambah, masih juga terdapat pilihan lain di pusat bandar Moscow walaupun tidak banyak iaitu hotel-hotel empat dan lima bintang.

“Moscow masih lagi kekurangan hotel yang mempunyai harga yang berpatutan. Pemaju pasti akan membuat pembangunan tetapi ia tidak mungkin berlaku di pusat bandar,” kata ejen estet Knight Frank, Anton Melnikov mengaitkan masalah tersebut dengan harga hartanah yang tinggi.

Hotel-hotel baru bersaiz mega perlu mendapatkan kembali kos membeli tanah dengan meletakkan kadar harga bilik yang tinggi.

Hostel pula tidak perlu meletakkan harga yang tinggi kerana selalunya, pemilik hostel akan membina pada bangunan sedia ada dan kadang-kala menggunakan kembali bangunan pangsapuri yang diubah suai.

Melnikov menjangkakan para pelancong pada masa hadapan terpaksa menetap di pinggir bandar dan perlu menaiki metro (tren bawah tanah) untuk ke pusat bandar.

“Di Amsterdam, Brussels atau London, anda akan menemui hotel-hotel murah di pusat bandar tetapi anda tidak akan menemui semua itu di Moscow,” katanya lagi. – AFP [KOSMO]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: