Jangan Bunuh Potensi Anak Muda


Dari Harakahdaily

Ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat Al-Quran, maksudnya, “Mereka adalah orang-orang yang diberikan peluang berkuasa di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembalinya segala urusan”.

Saya juga mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang saya rasa telah menyentuh tentang perkara-perkara penting yang menjadi teras kepada kekuatan negara ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara ini walau apa pun, walau bertukar kerajaan sekali pun perlembagaannya, kekuatannya akan tetap utuh dan memastikan rakyat supaya jangan bimbang kerana demokrasi ini mengizinkan peralihan kuasa, mengizinkan rakyat memberikan mandat kepada sesiapa pun.

Yang pentingnya mereka yang diberikan kekuasaan itu jujur dan amanah untuk memikul beban amanah ini yang dipertanggungjawabkan kepada kita, dunia dan akhirat.

Antara Titah yang penting yang saya ingin kekalkan dalam ucapan saya adalah tentang keselamatan negara, tentang justice dan keadilan, dan juga tentang kekuatan yang harus dibina kepada orang-orang muda dalam negara kita. Saya hendak ucap tahniah kepada rakan saya daripada Pengerang. Walaupun kita berbeza parti tetapi dalam aspek untuk beliau menyatakan tentang orang muda dan juga tentang bagaimana kita melihat kekuatan yang ada kepada manusia itu harus dilihat secara objektif. Beliau, saya rasa telah mengusik sedikit pemikiran kita pada hari ini tentang bagaimana seharusnya kita memberikan kredit, memberikan pujian kepada mereka yang benar-benar layak. Bukannya kepada mereka yang semua dalam hidup ini memberikan pujian kepada kita.

Kita ada pengalaman bersahabat. Kalau sahabat itu siang malam memuji kita, tidak habis bercakap puji kita, mengampu kita, that mean something wrong dengan sahabat kita itu. Akan tetapi, kalau sahabat itu ada ketika dan kalanya memberikan sedikit pujian, mengkritik kita, memberikan kita teguran, itu adalah sahabat yang baik, yang dalam pelarian umur kita, akhirnya kita akan mendapati sahabat yang banyak mengkritik kita itu adalah merupakan sahabat yang baik, sahabat yang dianggap sahabat yang jujur dalam kehidupan kita.

Demikian juga kita dalam dunia demokrasi. Saya rasa kita harus melihat perkara-perkara yang melibatkan negara ini kepada satu skala yang lebih besar, bukan dalam minda yang sempit dan mengajak kita semua berfikir bahawa kita telah meninggalkan garisan kemerdekaan ini 50 tahun. Perkara pertama yang saya ingin katakan ialah tentang bagaimana seharusnya kita mengenal pasti tentang ancaman-ancaman baru.

Orang muda

Saya hendak bercakap daripada konteks orang muda, generasi muda yang harus kita bimbing pemikiran mereka dan potensi mereka ke arah menjadi orang muda yang bertanggungjawab.

Setiap parti ada keanggotaan pemudanya baik daripada pembangkang atau pun dari pihak Barisan Nasional. Akan tetapi, apa yang penting adalah tidak semua yang kita didik itu akhirnya akan pergi kepada parti kita. Ini pengalaman kita. Bila mereka telah keluar daripada universiti, tamat pengajian, mereka bebas untuk memilih parti yang mereka hendak pilih. Jangan kongkong mereka. Saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa cara kita melayani pelajar-pelajar kita dalam pilihan raya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan memalukan.

Kita kembali pada zaman kuno. Kita ugut pelajar-pelajar kita. Kita susahkan untuk mereka mengisi borang. Kemudian, ada kejadian-kejadian mereka di kidnap. Ada kejadian-kejadian mereka diugut dengan SMS yang berunsur jenayah. Kenapa ini harus berlaku dalam dunia kita pada hari ini sedangkan di sanalah tempat kita melihat potensi anak-anak muda ini perlu kita didik, perlu kita beri ruang untuk mereka berfikir, memilih dan untuk mereka membuat keputusan, untuk mereka menilai parti mana atau kerajaan mana yang mereka hendak pilih atau dalam konteks kampus, mereka memilih pemimpin yang mereka rasa yakin untuk mereka undi dalam konteks mereka.

Akan tetapi, kenapa kita layan mereka seperti itu? Kenapa kita bina minda generasi muda dalam keadaan yang sebegitu? Kita undur balik ke belakang. Kalau ada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang bercakap tentang sedikit kebebasan yang perlu diberikan kepada mereka, kita sudah mula lihat menteri tersebut atau timbalan menteri tersebut mula dipinggirkan. Ini pemikiran yang saya rasa tidak setaraf dengan apa yang kita hendak bina dalam negara kita pada hari ini.

Potensi orang muda saya hendak beritahu. Apabila Alvin Toffler menulis buku The Third Wave , mungkin Alvin Toffler pun tidak menyangka hari ini dunia siber, era teknologi maklumat pada hari ini menjangkau satu kemajuan yang sangat luar biasa.

Kemudian, Samuel Huntington meramalkan  the clash of civilization, dengan izin. Pertembungan antara agama, antara budaya tetapi nampaknya pertembungan dalam agama dan budaya tidak sehebat sebagaimana yang kita alami pada hari ini kemajuan IT. Sehingga hari ini kita melihat telah ada sarjana yang menulis dan meramalkan akan berlaku satu pertarungan yang hebat dalam apa yang dikatakan cyber warfare, peperangan siber, cyber attack.

Ini dipraktikkan dan ditunjukkan bagaimana Barack Hussein Obama menggunakan facilities ini, menggunakan facebook nya untuk menamatkan legitimasi atau pun keangkuhan orang kulit putih. Dalam kempen pertamanya, dalam saingannya bersama Hillary Clinton, Barack Obama menggunakan kaedah atau pun pendekatan change .

Ancaman baru dunia yang seharusnya difikirkan bersama dalam konteks saya memberikan pandangan konstruktif saya terhadap layanan kita terhadap orang-orang muda, potensi mereka dan juga keupayaan mereka sebagai suatu tenaga penting kepada negara satu hari esok.

Apabila kita bercakap tentang kehebatan dunia siber ini, saya menjelaskan sebentar tadi tentang bagaimana Barrack Hussein Obama telah menggunakan kaedah dan pendekatan ini dalam kempennya di peringkat awal bersaing dengan Hillary Clinton dengan slogan ‘Change Now’ dan menggunakan kekuatan Facebook dan Twitter dan kemudian beliau berjaya untuk ke langkah seterusnya bersaing dengan rakan beliau untuk merebut kerusi nombor satu di  White House. Beliau telah menggunakan slogan ’The Change That We Can Believe In’, dengan izin, dan juga menggunakan Facebook dan Twitter ini sebagai bahan kempen utama Barrack Hussein Obama.

Dengan jelas ia membuktikan bahawa kekuatan walaupun mungkin tidak keseluruhannya tetapi faktor utama dalam sejarah terbaru Amerika dan dunia baru ini menyaksikan bagaimana seorang yang berkulit hitam boleh menjadi orang nombor satu di Amerika, orang nombor satu di White House dengan kekuatan jari-jemari golongan muda menggunakan pendekatan ini untuk mereka menunjukkan sikap politik mereka.

Kita apabila berhadapan dengan orang muda ini jangan diperlekehkan tentang keupayaan mereka, jangan diperkecilkan, jangan kita membuat suatu undang-undang yang walaupun pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman kepada mereka tetapi dalam satu waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu telah memperbodohkan mereka, mengheret pemikiran mereka ke arah zaman yang jauh jutaan tahun yang lalu, zaman batu, malah lebih dahsyat daripada itu. Dengan jari-jemari orang muda pada hari ini mereka boleh mengubah sejarah.

Saya ingin menyatakan dalam ucapan ini tentang fenomena dunia. Kita lihat perang dunia yang pertama telah mengubah sejarah Eropah Timur mendapat kemerdekaan. Negara seperti Hungary, Poland, Yugoslavia, Republic Chech dan seumpamanya merdeka selepas fenomena perang dunia yang pertama. Perang dunia yang kedua kita melihat bagaimana jatuhnya pelbagai empayar dan kita juga melihat Eropah Timur mendapat kemerdekaan keduanya dan seterusnya kita melihat dengan keupayaan dari fenomena itu akhirnya jatuh apa yang dikatakan the fall of the Berlin Wall . Jatuh dan runtuhnya Tembok Berlin.

Kemudian selepas cold war, selepas perang dingin, kita menyaksikan bagaimana negara-negara yang dahulunya diperintah oleh para diktator. Apa yang saya sifatkan sebagai Old Order ini runtuh satu demi satu dan fenomena ini berterusan kerana manusia itu akan terus potensinya berkembang kerana ia manusia. Ia bukan satu yang statik. Manusia ini pemikirannya walau satu waktu dahulu tidak berubah tetapi ia mesti berubah mengikut zaman dan keperluan apatah lagi dalam the third wave ini.

Maka, dengan sebab itulah kita melihat Old Order ini ataupun empayar-empayar besar dunia ini jatuh walaupun mereka ditekan dengan undang-undang yang zalim tetapi akhirnya mereka bangkit untuk mendapatkan hak mereka.

Maka, dalam dunia yang saya katakan tadi, dengan siber attack ini ada dua  dimensi di situ. Dimensi pertama mereka menggunakan peralatan canggih ini untuk mereka menentukan sikap mereka. Hari ini kita melihat jatuhnya Hosni Mubarak di Mesir, jatuhnya empayar atau diktator di Tunisia, sekarang di Yaman, di Bahrain dan mungkin esok di Arab Saudi. Ini fenomena yang berlaku dan perhatikan dengan cermat bahawa semuanya berlaku pada negara-negara yang demokrasinya dibunuh ataupun negara yang tidak punya demokrasi walaupun dengan kekuatan persenjataan, kekuatan undang-undang memenjarakan mereka, menekan mereka, membunuh mereka tetapi ingat suatu hari manusia ini pasti akan bangkit.

Kita hari ini menyaksikan depan mata kita dan semua orang bercakap pada hari ini Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, Malaysia tidak mungkin akan jadi macam negara-negara lain tetapi saya ingin memberikan suatu pandangan yang mungkin unjuran yang jauh, yang mungkin tidak dapat diperakui pada hari ini. Jangan bunuh demokrasi pada orang muda pada hari ini. Kalau kita mengakui negara kita punya demokrasi, suburkan demokrasi itu dan jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. Ini yang saya maksudkan kerana dengan jari-jemari mereka boleh merubah dunia.

Saya ingin menjelaskan satu lagi faktor dalam aspek ini ialah bahawa orang muda ini mereka boleh merubah sejarah, mereka boleh meruntuhkan empayar, mereka boleh menggunakan ruang siber yang ada pada hari ini untuk mereka mencapai tujuan mereka. Cuba kita bayangkan Hosni Mubarak yang belanjawan negaranya untuk tentera sahaja, untuk persenjataan sahaja, untuk kononnya bersaing dengan Israel berbelanja hampir 5% atau pun 6 % daripada KDNK mereka untuk kekuatan itu.

Orang dahulu takut terhadap bom atom. Hari ini dunia masih lagi berbincang tentang senjata nuklear tetapi apa yang berlaku pada hari ini tanpa bom atom, tanpa senjata nuklear, kerajaan boleh jatuh dengan cyber attack, dengan jari-jemari. Oleh itu bagi saya, kita harus melihat potensi anak muda ini untuk kita bangunkan.

Saya sendiri tidak mahu jadi seperti itu dalam negara kita. Akan tetapi kalau demokrasi ini tidak disuburkan, kalau tahun hadapan lagi kita melihat agaimana anak-anak muda kecewa dengan cara mereka diperlakukan dalam pilihan raya kampus, ini membakar semangat mereka. Mereka manusia, mereka human, mereka insan yang mahu suatu idealisme sebagai seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi dan jangan lagi layan mereka macam budak sekolah. Ini yang saya maksudkan supaya kita harus ingat tentang bahaya kalau kita mengongkong pemikiran manusia, mengongkong kehendak mereka, kita menyekat pemikiran mereka dan kita menggunakan undang-undang untuk mereka.

Kalau berlakunya pilihan raya kecil pun atau pilihan raya umum, kenapa tidak? Kalau ada fakulti sains politik…, di Universiti Malaya telah ada UMCEDEL, telah ada suatu badan bebas yang kita pertanggungjawaban mengkaji politik, UKM ada fakulti sains politik, kenapa tidak izinkan mereka turun? Kalau ada dua fakta yang kita ragui – sebagai contoh hari ini kalau kita menyatakan dengan fakta bahawa FELDA Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan falsafah asal atau matlamat DEB. Ia kita anggap bertentangan dengan kehendak Allahyarham Tun Razak yang pada waktu itu mahukan FELDA ini sebagai senjata yang dua serampang, membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat. Kita mendakwa apa gunanya FELDA Plantation?

Kalau ada fakta yang begini, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat? Biar mereka melihat, biar mereka mengkaji tentang kebenaran fakta ini. Ini cara kita menyuburkan pandangan. Ini cara kita berhujah dalam dunia dan iklim politik yang sihat kalau kita mahu menjauhkan diri kita daripada politik fitnah dan seumpamanya. Akan tetapi kita sekat mereka. Kita kenakan undang-undang pada mereka. Kita gantung pengajian mereka. Kita gantung biasiswa mereka. Ini cara apa? Jadi saya rasa harus kita melihat perkara ini dalam suatu kehendak orang muda yang kita raikan pemikiran mereka.

Kalau suatu hari esok di kalangan mereka lahir sebagai pemimpin negara, rakyat yang untung, rakyat yang akan mendapat manfaatnya. Tidak kiralah sama ada mereka Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau Barisan Nasional kalah, kita memerintah. Insya-Allah PR memerintah. Kalau kita kalah tidak mengapa, teruskanlah memerintah tetapi apa yang penting bagi saya ialah jangan bunuh potensi anak muda.

Kedua, saya ingin menyatakan tentang ancaman kedua kepada cyber attack ini iaitu apa yang dikatakan sekarang sebagai cyber terrorism.

Yang tadi mereka menggunakan seluruh kecanggihan peralatan untuk mereka bersaing, untuk mereka mencapai kehendak mereka. Dimensi yang kedua yang lebih bahaya adalah bagaimana hari ini dengan menggunakan dunia IT yang ada pada hari ini, peperangan siber ini juga kita melihat bahawa ancaman kepada kerajaan dan negara dengan apa yang saya sebut di sini sebagai cyber terrorism atau cyber security.

Sekarang sudah ada satu virus yang dikatakan stacks net. Satu virus yang telah dicipta untuk ia boleh dengan izin, disable computer system. Keupayaan keselamatan negara yang disimpan dalam data boleh dipunahkan dan boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

Iran sekarang ini mengalami ancaman ini, Amerika sekarang ini mengalami ancaman ini. Bukan lagi nuklear, bukan lagi atomic bomb tetapi dengan virus yang dihantar melalui sistem kecanggihan IT. Adakah negara telah bersedia ke arah itu? Ini soalan saya kepada Kementerian Pertahanan. Kalau yang tadi itu menggunakan jari jemari mereka untuk meruntuhkan atau menjatuhkan kerajaan, menjatuhkan diktator, sekarang dengan virus stacks net ini, mereka melumpuhkan sistem keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara kita?

Ketenteraan

Saya suka untuk membuat sedikit perbandingan di sini tentang keprihatinan saya kepada negara, menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang peralatan fizikal ketenteraan kita. Ya, bukan kita mahu berperang dengan negara jiran.

Bukan itu matlamat kita, tetapi bila negara jiran dari tahun ke tahun meningkatkan belanjawan mereka dalam bidang ketenteraan, apa sikap kita? Saya membaca beberapa fakta di sini. Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua.

Sejumlah RM35.5 bilion diperuntukkan bagi tahun kewangan Singapura 2011 bermula 1 April ini berbanding RM11.46 bilion pada tahun lalu untuk ketenteraan mereka. Untuk mengukuhkan hujah saya, data dari Stockholm International Peace Research Institute dari tahun 1990 hingga 2007, jelas menunjukkan terhadap enam tahun di mana bajet tentera diturunkan. Dahulu badan ini turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera berbeza hanya USD800 juta setahun pada tahun 1991 tetapi menjarak kepada USD1.3 bilion setahun pada tahun 1995.

Pada tahun 2008, Republik Singapura berbelanja lebih USD2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi semakin besar. Ini jarak kita dengan Singapura dari segi mereka membeli senjata canggih mereka. Mereka ada stealth, pesawat tercanggih paling pantas di dunia. Apa yang ada di Israel, ada di Singapura. Mereka ada peluru berpandu. Mereka ada kereta kebal anti tank paling canggih yang ada pada hari ini. Kita ada apa? Kita ada dengan izin, disable weapon. Ada kapal selam pun tidak boleh hendak menyelam. Ada tiga kapal laut tentera yang ada pada hari ini, satu terbakar. Kita ada apa yang ada pada hari ini?

Bukan saya dengan niat untuk menghina negara sendiri tetapi ini peralatan yang kita ada pada hari ini. Kita ada skyhawk jenis apa, tahun berapa, kapasitinya bagaimana? Walaupun saya faham dan saya mengerti bahawa itu bukan untuk tujuan peperangan tetapi ini hakikat yang ada pada hari ini. Kalau ini pun kita tidak boleh hendak bina, apa pula persediaan kita dalam konteks  cyber attack yang saya katakan tadi di mana dunia menghadapi ancaman cyber terrorism. Iran dilanda sekarang ini, negara Eropah dilanda dengan virus ini. Apakah persediaan kita terhadap perlindungan keselamatan data dalam negara kita?

Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, Balik Pulau sedikit penjelasan. Saya bersetuju dari segi aspek keselamatan negara. Cuma, yang saya juga mohon Yang Berhormat Kubang Kerian beri sedikit pandangan ialah mengenai ketika era apa yang dipanggil sebagai the era of soft power, bajet kita kepada Kementerian Luar untuk teman-teman kakitangan kerajaan terutama untuk mewakili negara terhadap kerja-kerja diplomasi kurang banyak untuk tahun ini.

Akan tetapi yang saya tahu, dengan perkembangan globalisasi sekarang, cabaran untuk kerja-kerja diplomasi ini amat lebih mencabar. Saya rasa di  era soft power ini, selain daripada keperluan untuk kekuatan fizikal, military sifatnya, tetapi saya rasa untuk meningkatkan dengan izin, the sophistication of our staff iaitu kakitangan Kerajaan Malaysia yang saya rasa perlu. Saya rasa mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh beri sedikit pandangan.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]:  Ya, satu pandangan yang bijak daripada rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau di mana saya juga melihat bahawa dunia diplomatik juga menjadi semakin penting dalam kita mencatur, dalam kita melihat our way forward dengan izin, tentang kesediaan negara dalam kita berinteraksi dengan dunia yang ada pada hari ini. Peralatan mereka dan juga kelengkapan mereka harus dipertingkatkan supaya mereka juga dapat memainkan peranan yang maksimum dalam kita menentukan tentang efficiency, kecekapan negara kita dalam kita menyaingi mereka.

Saya tertarik dengan sejarah masa lampau. Hari ini, bila ada perundingan damai yang melibatkan – termasuk dunia Islam, negara yang menawarkan adalah negara Norway, Finland ataupun Sweden. Negara-negara yang menawarkan perlindungan politik juga, yang rasa selamat ialah negara-negara dengan izin di  Scandinavian countries. Jadi walaupun dulu mereka adalah ‘Viking’, mereka  adalah lanun laut utara yang kita belajar di sekolah dahulu, namun dalam masa yang cepat mereka belajar dan mereka hari ini menjadi  peacemaker, mereka menjadi mediator untuk mereka tampil di pentas dunia dan menawarkan khidmat mereka untuk perundingan damai. Jadi saya rasa Malaysia juga mesti ke arah itu dalam kita bersaing dengan dunia-dunia yang berada pada hari ini. Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau.

Buku Jingga

Saya beralih kepada Buku Jingga. Walaupun apa pun yang dikatakan tentang Buku Jingga ini, terima kasihlah kepada sahabat kita daripada Kota Belud walaupun tidak ada di sini kerana sebahagian besar ucapannya menyentuh tentang buku ini walaupun diperkecilkan. Ya lah, maklumlah kami tidak lagi di tahap duduk di sebelah sana tetapi ini yang kita tawarkan kepada rakyat. Saya rasa dengan diskusi itu yang walaupun ada kritikan, saya faham tidak mungkin mereka memuji tentang Buku Jingga ini. Akan tetapi saya rasa itu satu permulaan yang baik di mana di sebelah sana juga telah menerima ini sebagai satu dokumen yang perlu dibahaskan.

Saya rasa ini satu perkara yang baik. Kalau ia nanti menjadi satu perkara yang lebih penting, ada banyak lagi forum-forum tertentu yang boleh kita bahaskan tentang Buku Jingga ini kerana kita juga datang dengan suatu latar belakang pimpinan yang ada, latar belakang pengalaman mereka dalam kerajaan. Saya rasa dalam konteks ini saya bersetuju dengan rakan-rakan macam Yang Berhormat Pengerang tadi. Janganlah tuduh kita ini membangkang semata-mata. Tidak ada budi langsung kepada negara ini. Tidak ada suatu jasa langsung kami ini kepada negara. Itu tidak betul. Lihat sahaja Parlimen ini. Caucus yang dikemukakan. Siapa yang menganggotainya? Tidak semua seratus peratus Barisan Nasional. Juga daripada kami. Lawatan-lawatan kerja ke luar negara saya rasa juga dijemput kepada kami. Baru-baru ini saya dengan rakan daripada BN, Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian Yang Berhormat Kuala Krai bersama Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Kita pergi kepada satu persidangan Global Peace Conference di Jepun dan Korea. Kita boleh duduk semeja berhadapan dengan parti baru di Jepun dan kita boleh kemukakan idea bersama. Tidak timbul masalah kita hendak mencaci negara sendiri di hadapan negara lain. Itu satu perkara yang saya rasa harus dilihat.

Jadi dalam konteks Buku Jingga, terima kasih dan tahniah kerana memberikan kesempatan untuk dibahaskan. Saya rasa kalau ada perkara-perkara yang perlu dikritik, ayuh kita boleh bincang secara intelektual, adakan  intellectualist course untuk kita tengok apa yang baik dan positif. Ini pandangan kita kepada rakyat yang harus kita panjangkan untuk kebaikan negara.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kubang Kerian. Setuju atau tidak bahawa sepatutnya dalam proses pengundian demokrasi dalam negara kita ini dalam konteks Buku Jingga, buku biru tua dan sebagainya, dalam konteks untuk membina masyarakat Malaysia yang bermaklumat, yang menentukan hala tuju negara kita ini berasaskan kepada knowledge, pengetahuan yang cukup. Sepatutnya agensi-agensi media elektronik ini seperti RTM, TV3, Kumpulan Media Prima dan sebagainya memperbanyakkan lagi intellectualist course yang berkaitan dengan bukan sekadar Buku Jingga tetapi saya kata bahawa kalau BN boleh keluarkan buku biru tua, jadi kita boleh membuat perbandingan. Buku Jingga dengan buku biru tua supaya masyarakat diberi peluang untuk melihat dan menilai sama ada Buku Jinggakah yang lebih baik atau buku biru tuakah yang lebih baik. Jadi yang mana?

Salahuddin  Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, ya. Satu pandangan yang sangat baik yang Yang Berhormat Pokok Sena kemukakan untuk Parlimen ini. Saya rasa dalam era selepas 2004, ada sedikit keterbukaan RTM. Ini saya hendak – ya lah kalau benda yang boleh saya puji, saya puji. Dulu ada Debat Perdana. Satu ruang waktu yang saya rasa walaupun pendek, sejam. Kemudian, Astro hari ini membuka ruang untuk kita dan dipanggil ahli-ahli panel daripada semua pihak. Saya rasa satu perkara yang sangat baik. Rakyat melihat kemunculan kita dalam televisyen yang dulu orang anggap pembangkang ini akan bercakap dengan bahasa yang kesat.

Satu persembahan yang memang rupanya rupa pembangkang. Namun dalam ruang waktu itu kita melihat semua bercakap tentang kebaikan negara. Sumbangan kita kepada negara. Tidak ada orang hendak look stupid on air.  Jadi Astro telah buat satu ruang waktu. Namun saya hairan sekarang ini Astro pun sudah mula longlai. Mungkin ada suatu arahan.

Jadi saya rasa kalau ini boleh kita lebar luaskan dalam konteks kita menggalakkan satu minda yang berpengetahuan, masyarakat yang base on k-Knowledge, saya rasa kita sangat membantu kepada negara kita sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: