Padah sambil lewa


PUTRAJAYA: Tindakan sebuah bengkel kenderaan di Seri Kembangan, Selangor yang bersikap sambil lewa ketika membaiki sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan mengundang padah apabila Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan pemiliknya membayar RM2,199 sebagai bayaran ganti rugi.

Ganti rugi itu adalah kos yang terpaksa ditanggung seorang pentadbir pembangunan hartanah sebuah syarikat penerbangan, Nik Abdullah Nik Idris, 41, selepas bengkel itu gagal membaiki keretanya dengan sempurna walaupun sudah tiga kali dihantar ke premis itu menyebabkan dia terpaksa menghantar ke bengkel lain.

Lebih malang, dia hampir terbabit dalam kemalangan apabila kereta terbabit berasap secara tiba-tiba ketika dipandu, selain tayar sebelah kiri berbunyi ketika melakukan pandu uji selepas mengambilnya dari bengkel berkenaan.

Malah, Nik Abdullah berkata, dia percaya bengkel terbabit juga cuba menipu syarikat insurans dengan mengemukakan jumlah pampasan yang terlalu tinggi iaitu sehingga RM15,000 walaupun kerosakan sebenar yang hanya sedikit.

Beliau berkata, kejadian itu bermula apabila dia terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 5 April tahun lalu di lampu isyarat berhampiran litar Formula Satu, Sepang sebelum keretanya ditarik ke sebuah bengkel di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, walaupun sudah hampir dua bulan, keretanya belum berjaya dibaiki walaupun syarikat insurans sudah meluluskan permohonan dalam tempoh sebulan.

Berikutan itu, katanya, dia ke bengkel terbabit untuk mengambil kembali kereta itu, tetapi diminta menanti seminggu lagi bagi membolehkan bengkel menyediakan dokumen berkaitan.

Malah, katanya, selepas seminggu, dia mendapati bengkel terbabit sudah membuka enjin kereta, kononnya untuk dibaiki walaupun sudah dimaklumkan dia ingin mengambil keretanya semula.

“Saya mengarahkan pekerja bengkel memasang semula kerana sudah hilang kepercayaan terhadap bengkel yang menggunakan tenaga kerja asing yang dipercayai tidak mempunyai pengalaman.

“Bagaimanapun, saya diyakinkan seorang pekerja untuk menguruskan kereta saya sebaik mungkin dan disiapkan sebelum 28 Jun 2010.

“Tetapi, saya mendapat panggilan daripada bengkel itu pada 25 Jun menyatakan syarikat insurans mengisytiharkan kereta saya ‘total lost’, menyebabkan saya hairan kerana setahu saya enjin kereta tidak rosak, hanya bahagian komponen saja,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di TTPM di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, semalam.

Pada perbicaraan itu, Nik Abdullah menang kes terbabit dan Presiden TTPM, Siti Naa Aishah Hambali mengarahkan Lam Koong Sum Car Services Centre Sdn Bhd membayar RM2,199 kepadanya dalam tempoh 14 hari selepas surat perintah (award) dikeluarkan.

Nik Abdullah berkata, bengkel berkenaan kemudian memaklumkan kepadanya, pihak insurans menarik balik pengisytiharan itu dengan jumlah pampasan baru berjumlah RM6,000 dan berjanji akan membaiki kereta itu.

Namun, selepas keluar masuk bengkel sebanyak tiga kali dia masih tidak berpuas hati dengan keadaan keretanya, sebelum menghantar ke bengkel lain untuk diperiksa dan didapati kebanyakan komponen yang rosak hanya dibaiki atau diketuk dan tidak diganti dengan baru, malah kerja mekanik juga tidak kemas.-Hmetro

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: