Doa buat pertama kali dibaca di majlis DAP


Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman.

Bacaan doa selama lebih kurang 4 minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadikan satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membacakan doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.

Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti.

Puluhan ahli-ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir pada pada konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana majlis DAP sebelum ini.

DAP yang kebanyakannya dianggotai oleh ahli-ahli berbangsa Cina sering dituduh sebagai cauvinis kaum itu kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini.

Konvensyen kali ini turut menyaksikan seramai lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon bertanding bagi menawarkan diri untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah.

Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik seorang Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menjadi ahli jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012.

Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther.

DAP sememangnya sukar untuk menarik orang Melayu bagi menjadi ahlinya setelah sering kali dituduh sebagai cauvinis sedangkan parti itu mendokong ideologi pelbagai kaum dengan berjuang untuk kepentingan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum, agama mahupun latar belakang.

Harakahdaily

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: