Selepas konvensyen, BN terus bergeser


Konvensyen Barisan Nasional yang diadakan hujung minggu lalu dikemukakan dalam media propemerintah sebagai satu kejayaan, melibatkan perpaduan dan kesediaan gabungan parti pemerintah itu berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau bagaimanapun, di sebalik imej kesatuan yang diuar-uarkan dengan slogan 1 Malaysia dan piagam baharu yang membawa prinsip lebih inklusif, realiti melibatkan parti-parti komponen utama BN sendiri mendedahkan imej perpaduan itu agak jauh daripada yang sebenarnya terlaksana.

Kebelakangan ini, BN berhadapan isu-isu berbaur perkauman yang tidak putus-putus, mengundang perdebatan terbuka melibatkan pemimpin-pemimpin parti komponen.

Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam angkatan tentera mencetuskan rasa tidak senang yang mendalam pada parti-parti komponen bukan Melayu.

Sehingga minggu ini, berdasarkan kenyataan susulan yang dibuat Zahid, isu ini kelihatan masih jauh daripada penyelesaian, malah mungkin akan terus menjadi api dalam sekam bagi BN.

Belum pun reda kontroversi kenyataan Zahid, konvensyen BN digegarkan dengan kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengecam tindakan Umno bertindak sebagai “big brother” dalam BN.

Kenyataan keras pemimpin parti Cina terbesar dalam BN itu terus mengundang reaksi marah pemimpin-pemimpin Umno.

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menulis dalam akhbar pro-Umno Utusan Malaysia membidas kenyataan Chua itu, yang didakwa cuba menjadi juara dalam parti dengan menunjukkan keberanian.

Kemudian, naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mengambil peluang mengulas kenyataan Chua itu dengan mengatakan ramai pemimpin Umno mencetuskan kemarahan ramai pemimpin Umno.

Hari ini, MCA membalas serangan Umno itu, apabila timbalan ketua publisitinya Loh Seng Kok dilapor berkata apa yang disebut Chua itu ialah sesuatu yang dirasakan oleh ramai pihak, dan menggesa Hishammuddin dan Puad terbuka menerima kritikan daripada orang ramai.

Malah, dalam kalangan Umno sendiri, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan penyanyi Namewee tidak melanggar undang-undang melalui lagu dan video muzik perkauman yang dihasilkan.

Nazri mencetuskan kemarahan ahli Umno yang melihat kerajaan pimpinan Najib takut atau tidak mahu bertindak terhadap individu kontroversi itu kerana menjaga hati kaum bukan Melayu demi memenangi kembali undi mereka.

Bagi ramai ahli dan penyokong Umno, yang sebahagian daripada mereka menzahirkan sentimen di blog, sensitiviti Melayu diabaikan akibat usaha memenangi hati pengundi bukan Melayu yang mereka anggap berlebihan.

Parti-parti komponen bukan Melayu juga masih tidak berpuas hati dengan keahlian terbuka BN yang diluluskan beberapa minggu lalu.

Komponen seperti Parti Gerakan mahu keahlian terus BN yang menjadikan semua ahli sama-rata dan Umno tidak lagi mendominasi.

Malah parti itu pergi jauh ke hadapan lagi apabila mencadangkan BN wujud sebagai satu parti tunggal, tindakan yang dilihat lebih berkesan menjadikan semua ahli sama-rata.

Keahlian terbuka yang diluluskan masih mengekalkan status quo kuasa Umno, dan juga parti-parti komponen. Tetapi berdasarkan realiti berasaskan kawasan pilihan raya, dominasi Umno masih kekal selepas pembukaan keahlian itu.

Tuntutan parti-parti komponen untuk mendesak slogan 1 Malaysia ditafsir dan dilaksana menurut tafsiran yang lebih liberal itu akan sentiasa wujud dan ditimbulkan dari masa ke masa.

Bagi MIC, yang bertukar pemimpin tertinggi baru-baru ini, sentimen terpinggir kelihatan masih dirasakan, ekoran kegagalan komponen itu menunjukkan prestasi yang baik dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Kes-kes ini hanyalah peristiwa terbaharu melibatkan pergeseran dalaman parti-parti komponen BN, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bersusah-payah berkempen untuk gagasan 1Malaysia diterima semua komponen.

Keadaan BN yang sukar ini boleh menjadi sesuatu yang positif kepada Pakatan Rakyat, ketika semua sedang berteka-teki tentang pilihan raya akan datang.

Tindakan Pakatan seterusnya, yang satu tanda pentingnya ialah konvensyen kedua di Pulau Pinang nanti, akan menentukan sejauh mana pergeseran dalam BN itu akan memberi manfaat kepada Pakatan.

Harakahdaily

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: