Kenderaan terperangkap 130 km



DI KALANGAN Sebahagian besar negara yang membangun, kesesakan lalu lintas bukan perkara yang sentiasa berlaku. Lazimnya, liputan mengenai kesesakan lalu lintas yang dipaparkan di media pada musim-musim perayaan, kemalangan atau sebarang aktiviti demonstrasi yang mengambil tempat di atas jalan raya.

Bagaimanapun senario itu berbeza dengan situasi trafik di lebuh raya di Beijing, China. Di bandar raya berkenaan, jalan raya yang sesak sudah menjadi kebiasaan penduduknya tetapi jika lalu lintas tiba-tiba lengang, ia ibarat satu mimpi buruk.

Sejak pertengahan Ogos lalu, kesesakan lalu lintas lebuh raya Beijing-Tibet mencatatkan kesesakan paling buruk. Jika sebelum ini orang ramai menggunakan lebuh raya untuk perjalanan yang lancar, sebaliknya tempoh perjalanan di lebuh raya tersebut menjadi dua hingga tiga kali ganda daripada biasa.

Semuanya dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya sehingga memaksa pihak polis membina lorong lencongan alternatif untuk meredakan kesesakan.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kemalangan jalan raya yang dikatakan berpunca daripada sikap pemandu yang tidak bersabar, tidak berhemah dan membuat laluan tambahan sehingga menyempitkan laluan sedia ada.

“Kerajaan harus mengambil langkah pembangunan infrastruktur bandar dan menghabiskan sebahagian bajet belanjawannya,” kata Pengarah Institut Urban dan Pengajian Persekitaran, Akademi China dan sains Sosial, Niu Fengrui.

Dalam pada itu, lebuh raya Beijing-Tibet sepanjang 3,700 kilometer (km) akan menghubungkan Beijing dengan Lhasa di rantau autonomi Tibet dekat barat daya China apabila ia siap kelak.


PENINGKATAN jumlah trak yang menggunakan lebuh raya di Beijing menambahkan kesesakan laluan tersebut.

 

Ketika ini, laluan Beijing Xining dibuka kepada trafik manakala laluan Xining-Lhasa masih di bawah penyelenggaraan dan pembinaan. Ia juga adalah satu-satunya lebuh raya ke Beijing dan Tianjin dari arah barat laut.

Masalah kesesakan trafik paling teruk adalah di Hebei dan Inner Mongolia sejak kerja-kerja penyelenggaraan bermula di laluan sehala.

Reka bentuk jalan yang lemah dan jumlah trak yang berlebihan dikatakan antara puncanya. Empat lebuh raya iaitu Beijing-Tibet, National Road 110, Xiguan Road and Beijing-Xinjiang yang bertemu di hujungnya menyebabkan kesesakan teruk.

Penduduk Beijing pula terpaksa memilih laluan berkenaan kerana laluan alternatif lain mengenakan tol yang terlalu tinggi.

Selain itu, perkembangan industri arang batu dekat Inner Mongolia menambah tekanan ke atas pengangkutan. Produksi arang batu di China bagi tahun 2010 khabarnya mencecah sehingga 730 juta tan.

Laluan trafik di China National Highway 110 telah berkembang 40 peratus setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyumbang kepada kesesakan melampau. Kadar trafik adalah 60 peratus lebih tinggi berbanding kebolehan tampungan lebuh rayanya.

Waktu puncak

Pembinaan jalan baru dan proses penyelenggaraan pula menyebabkan tampungan berkenaan merosot hingga 50 peratus.

Sementara itu, seramai 400 pegawai polis berada di kawasan terbabit 24 jam sehari untuk memastikan keadaan terkawal.

Kesesakan di Beijing sudah menjadi darah daging di bandar raya berkenaan. Kekerapannya meningkat sejak bulan Mei lalu akibat peningkatan jumlah trak yang menggunakan lebuh raya Beijing-Tibet yang mencecah sebanyak 17,000 buah pada waktu puncak.

Kesesakan yang agak lancar sedikit awal bulan lalu, pemandu kenderaan berat di Beijing sekali lagi menempuh kesesakan untuk kali ketiga dalam tempoh dua bulan. Malangnya, kesesakan tersebut menjangkau sejauh 130 km.

Kenderaan dikatakan bergerak hanya satu kilometer sehari sehingga ada kenderaan yang tersangkut di lebuh raya berkenaan sehingga lima hari.

Malah, kesesakan itu menjadi lebih teruk apabila ramai pemandu yang tidur di dalam kenderaan yang dihentikan di tengah jalan akibat kepenatan.


MENGEMBARA di Beijing sesuatu yang menarik tetapi berhati-hati ketika anda melintas di jalan rayanya.

 

Selain itu, pihak berkuasa China menganggarkan lebih 10,000 buah trak, sebahagian besarnya ialah lori pengangkut arang batu dari wilayah Inner Mongolia, langsung tidak dapat bergerak.

Kesesakan terburuk yang julung kalinya berlaku pada pertengahan Ogos lalu. Ia melibatkan jarak 100 km yang berakhir 10 hari kemudian dan disusuli kesesakan kedua pada penghujung Ogos sejauh 30 km yang berakhir awal September lalu.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Beijing Jiatong, Ou Guoli berkata, terdapat penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi kesesakan itu. Tetapi untuk menyelesaikannya dalam jangka panjang, struktur pengangkutan dan industri negara berkenaan harus diperbaiki.

“Ekonomi negara ketika ini banyak bergantung kepada arang batu dan bekalannya berlebihan. Penyesuaian struktur ekonomi akan membuatkan pengambilan arang baru lebih bertepatan,” katanya.

Katanya lagi, dari sudut struktur pengangkutan, kereta api menjadi pilihan terbaik untuk mengangkut bahan mentah seperti arang batu. Kereta api mempunyai kapasiti yang lebih besar dan boleh mengurangkan kos pengangkutan berbanding penggunaan trak di lebuh raya.

Sementara itu, menerusi laman web http://www.virtualtourist.com. pelancong memberi pelbagai reaksi mengenai masalah trafik di Beijing. Rata-rata menyuarakan kebimbangan mengenai sikap pemandu di Beijing yang tidak beretika di jalan raya.

Seorang pelancong yang dikenali sebagai Cinthya berkata, bas yang mereka naiki mengalami kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Tembok Besar dua tahun lalu.

Mimpi buruk di Beijing

“Saya tidak pasti di manakah tempat paling teruk untuk memandu, sama ada China atau Mexico. Tetapi saya tahu kesesakan pasti berlaku setiap kali lawatan ke Beijing. Jadi bersiap sedialah!” katanya.

Angelochka pula berkata, kesibukan trafik di Beijing ibarat kegilaan dan dia tidak mempunyai kata-kata yang dapat menggambarkan kebimbangannya setiap kali berada di atas jalan raya di bandar raya berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah, cuba untuk tidak terbunuh ketika melintas jalan-jalan rayanya! Pada mulanya saya menganggap pemandu di Moscow paling merbahaya, tetapi saya silap.

KESESAKAN yang teruk mengakibatkan kenderaan terkandas di lebuh raya.

 

“Saya sedang melintas jalan ketika lampu pejalan kaki berwarna hijau tetapi kereta dari semua arah kelihatan bergerak dan menghampiri seakan-akan cuba melanggar saya. Mereka tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Pelancong yang hanya dikenali dengan nama samaran iaitu Mccrorj berkata, ia ibarat mimpi buruk untuk mengembara di Beijing pada waktu malam. Perjalanan paling pendek sekali pun mungkin memakan masa berjam-jam.

“Berikan masa yang banyak kepada diri sendiri untuk sampai ke destinasi terutama sekali ke lapangan terbang sekiranya anda mempunyai perkara penting untuk diselesaikan,” katanya.

Tina pula berkata, pemanduan di China sangat menakutkan kerana pemandunya bukan sahaja tidak berhati-hati, tetapi mereka mengambil risiko yang tinggi tanpa memikirkan kesannya.

“Sekiranya anda memandu, tidak banyak yang anda boleh lakukan untuk memastikan keselamatan diri sendiri. Mereka (pemandu) membuat laluan tambahan, menghimpit kereta anda sehingga melanggar cermin sisi.

“Kami menyaksikan sebanyak 15 kemalangan dalam satu hari hanya dalam masa tiga jam memandu,” tambahnya.

Pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Whaleshark berkata, bas yang dinaikinya dari Beijing ke Chengde mengambil masa lima jam. Perjalanan itu bukan sahaja perjalanan itu memenatkan, bahkan kebanyakan permukaan jalan rayanya tidak sekata.

“Lebih baik menaiki kereta api kerana ia mengambil masa kurang tiga jam untuk sampai ke Chengde dari Beijing malah kereta api ekspres lebih selesa,” katanya.

Kosmo

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: