Galas: Sokongan bukan Islam makin meningkat


KOTA BHARU, 6 Okt: PAS yakin sokongan masyarakat bukan Islam khususnya Cina di Dun Galas terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat hasil perubahan 20 tahun dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata hasil dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan, masalah Islamofobia tidak wujud lagi di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Markas 8 Briged Pengkalan Chepa, tengah hari tadi sebagai mengulas tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil Dun Galas yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Kehadirannya bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, disambut oleh Penglima 8 Briged, Brigedier Jeneral, Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Katanya lagi, tiada halangan untuk PAS menghadapinya memandangkan sokongan pelbagai pihak termasuk golongan itu semakin kuat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PAS telah mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk golongan bukan muslim atas permintaan mereka sendiri yang menunjukkan sokongan semakin meningkat.

Katanya, fahaman daripada teori  Islamofobia oleh kalangan masyarakat itu kepada ke arah yang lebih baik.

“Perkembangan ini satu kemenangan kepada perjuangan Islam, bahkan tidak ada fahaman Islam fobia di Kelantan ini.

“Untuk itu, PAS bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang akan berlangsung 4 November ini,” ujarnya.

Beliau juga turut mendedahkan calon yang bakal bertanding juga telah dikenal pasti.

Mengulas kemungkinan Tengku Razaleigh Hamzah bakal bertanding, beliau berkata, PAS tidak menentang Umno atas sifat peribadi.

“Kita lawan Umno ni bukan kita lawan batang tubuh, tetapi lawan fikrah dia, lawan teori dia, politik lain, agama lain, ni salah, bahaya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS tidak akan beri kemenangan percuma kepada Ku Li sekiranya menjadi calon walaupun beliau menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan.

Menurutnya, tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza.

Tegasnya, PAS menentang perjuangan atau fikrah yang salah dan bukannya batang tubuh individu.

“Jangankan Umno yang diperjuangkan oleh orang Melayu, andai kata Umno ni diperjuangkan oleh orang Arab sekalipun PAS tetap akan menentangnya,” ujarnya lagi.

Katanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, sebelum ini tidak pernah mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negeri ini.

“Sepatutnya sewaktu menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang lebih layak jadi calon, tetapi dia (Umno) tak buat. Mungkin juga Ku Li tak mahu, kalau dia mahupun siapa boleh sekat sebab dia pengerusi,” ujarnya.

Kerana itu, tambahnya bukan taraf beliau (Ku Li) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, PAS menghormati keputusan Ku Li untuk bertanding dan akan berlawan sebagaimana biasa.

Harakahdaily

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: