SEGI Seri Kembangan


Melatih graduan kaunter hadapan

Memastikan para pelajar lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan yang sebenar, pihak kolej menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang berkaitan.


MALAYSIA kini sedang pesat membangun. Peluang pekerjaan dilihat lebih tertumpu dan memerlukan barisan pekerja kolar biru yang memiliki tahap kemahiran tinggi. Melihat faktor tersebut, negara mengambil inisiatif melatih bakal-bakal doktor, arkitek dan jurutera yang profesional dan berkaliber.

Namun begitu, pihak kerajaan tidak pernah melupakan dan memperlekehkan golongan yang tidak memiliki kemahiran profesional untuk melakukan kerja-kerja rutin yang biasa dipraktikkan oleh doktor, arkitek dan jurutera.

Sebagai contoh, jika diperhatikan, arkitek memerlukan perkhidmatan pelukis pelan yang cekap dalam menghasilkan pelan yang lengkap manakala jurutera automotif pula memerlukan bantuan sokongan daripada pekerja mekanik untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan.

Menyedari situasi sedemikian, kerajaan telah menyediakan pelan menyeluruh untuk meningkatkan jumlah golongan belia supaya mempunyai kemahiran melalui pelbagai program inovatif. Pelajar yang tidak cenderung terhadap akademik, tetapi meminati tugasan amali wajar mendaftar dalam Program Belia CGT.

PELAJAR kaunter hadapan dididik supaya memberi layanan terbaik kepada pelanggan.


Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pusat Latihan Segi (STCSK), Program Belia CGT merupakan salah satu program Pembangunan Modal Insan yang diperkenalkan pada tahun 2006. Ia bertujuan melengkapkan belia tempatan dengan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.

Pelatih program yang ditaja oleh Kementerian Belia dan Sukan ini turut mendapat tanggungan yuran keseluruhan latihan dan elaun sara diri. Para pelajar dikehendaki mendalami kursus yang ditawarkan selama setahun dan sekurang-kurangnya lulus subjek bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara program yang mendapat sambutan belia di Pusat Latihan Segi ialah kursus Penyelia Kaunter Hadapan yang ditawarkan di peringkat sijil. Bagi mereka yang bercita-cita berkhidmat di rangkaian hotel terkemuka mahupun resort, kursus ini mampu merealisasikan impian tersebut.

Menurut Pegawai Latihan Pusat Latihan Segi, Nazuha Mohd Zahari, dalam program ini para pelajar didedahkan pada empat modul utama. Modul-modul tersebut terdiri daripada modul seliaan, komunikasi, penerangan dan permintaan pelanggan.

NAZUHA MOHD. ZAHARI


Ini kerana beliau menegaskan sekiranya empat modul berkenaan tidak diaplikasikan dan diterapkan dalam kalangan pelajar maka ia akan mendatangkan masalah apabila graduan melangkah ke alam pekerjaan.

“Komunikasi dan layanan mesra terhadap pelanggan penting dan perlu sentiasa dipraktikkan. Seperti yang diketahui umum, kunjungan pelanggan ke hotel bukan sekadar untuk menikmati suasana bilik hotel yang selesa dan cantik. Tetapi, pada masa yang sama, mereka juga ‘menuntut’ layanan terbaik daripada krew kaunter hadapan.

“Selain itu, mereka yang ingin mendalami jurusan ini juga perlu mempelajari etika pemakaian yang kemas dan menarik. Rambut tidak boleh dibiarkan kusut atau memakai pakaian yang kotor dan koyak. Ini kerana kesannya akan memberi impak negatif kepada pelanggan,” jelas Nazuha ketika ditemui Kosmo! pada Program Hari Hospitaliti, Kaunter Hadapan di Pusat Latihan Segi, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Program yang julung kalinya diadakan ini, melibatkan 50 pelajar semester akhir Kursus Penyelia Kaunter Hadapan. Ia bertujuan meningkatkan kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri dan persediaan lengkap pelajar sebagai krew kaunter hadapan sebelum melangkah ke alam kerjaya yang sebenar.

ASNOL SHAHIB ALWI


“Belajar dan mendapat informasi di dalam kuliah sahaja tidak mencukupi jika pelajar tidak merasai dan mengutip pengalaman itu sendiri. Menerusi program sebegini, ia dapat melatih pelajar supaya berdikari dan bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapi ketika bekerja kelak.

“Justeru, bagi mendapatkan pengalaman tersebut, suasana kaunter pendaftaran kolej telah diubah dan dihias seperti kafe lobi hotel dan resort yang sebenar. Dari hiasan meja hinggalah penyediaan makanan dan minuman, semuanya berkonsepkan ala hotel,” jelas Pegawai Perhubungan Pelajar, Asnol Shahib Alwi.

Memandangkan ia merupakan projek akhir mereka maka segala persiapan dilakukan dengan teliti dan rapi. Sebaik sahaja program dimulakan, para pelajar yang kemas dengan sepersalinan sut korporat sudah bersedia menunggu kehadiran pengunjung di kaunter hadapan.

Berdandan cantik dan segak, masing-masing menguntum senyuman manis dan menyapa mesra pelanggan yang datang.


Selesai menulis nama pelanggan dalam buku khas, krew kaunter mengiringi mereka ke meja yang ditetapkan, lantas mengambil pesanan minuman dan makanan. Pelbagai ragam pelanggan dapat dilihat. Ada yang sibuk membelek majalah, ada pula yang asyik mendengar muzik dan ada juga menonton tayangan cerita televisyen.

Bagi mengukuhkan lagi persediaan pelatih kaunter hadapan mengenai alam sebenar kerjaya ini, pihak STCSK akan menganjurkan sesi lawatan industri dengan diiringi pegawai latihan kursus. Pada sesi ini, pelajar kursus kaunter hadapan dibawa melawat ke hotel-hotel untuk melihat dan mempelajari persekitaran hotel.


Sementara itu, pelajar semester akhir Kursus Kaunter Hadapan, Nurin Hanani Abd. Hakim, 21, memberitahu pengalaman melawat hotel Pan Pasific KLIA dan Le Meridean Kuala Lumpur begitu menyeronokkan.

“Sebelum ini, saya dan rakan yang lain hanya didedahkan menerusi buku, tugasan dan sesi kuliah. Tetapi, apabila menjejakkan kaki di hotel-hotel itu dan bertemu dengan krew kaunter hadapan yang bertugas, saya mendapat tunjuk ajar dan ilmu tambahan.

“Mungkin kerjaya petugas kaunter hadapan tidak gah seperti kerjaya doktor atau peguam. Namun, ia mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri seperti berpeluang bertemu pelancong tempatan dan luar negara,” tambah Nurin yang berminat untuk berkhidmat di hotel Le Meridean Kuala Lumpur.

Pihak STCSK melahirkan rasa gembira kerana 50 peratus graduan yang baru menamatkan pengajian, mula berkhidmat di pelbagai hotel di seluruh Malaysia. Berkat kesungguhan pelajar, sukatan kurikulum dan pensyarah yang berkaliber, maka tidak mustahil Malaysia bakal melahirkan krew kaunter hadapan tempatan profesional setaraf petugas hotel antarabangsa di negara maju..

Sumber http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_01.htm”>Asal

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: