Luahan Kasih Buat Kekasih


3385191764_18d6fd1583

Islam merupakan agama yang syumul mencangkupi semua masyarakat dan bidang semenjak insan yang pertama Adam a.s sehinggalah Nabi utusan akhir zaman Muhammad S.A.W. Islam merupakan sebuah agama yang cukup lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin mencintai dan dicintai. Untuk apa Allah Taala menciptakan manusia mempunyai fitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah Taala untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaannya. Rasulullah S.A.W pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak berkahwin. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui dan mengiktiraf fitrah manusia yang ingin mendambakan cinta. Namun persoalannya, bagaimana cara terbaik untuk menyalurkan cinta suci ini selari dengan kehendak Allah Taala dan Rasulullah S.A.W mengikut era semasa?

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu selepas lafaz Ijab dan Qabul. Islam telah menggariskan suatu panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini dengan cara lebih selamat. Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidup, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi bagi menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan tuan empunya diri dan terus menyatakan niat hati. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan berkenalan dalam masa terlalu lama. Sedangkan ibu bapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tidak bersetuju dengan pilihan hati. Akhirnya mengakibatkan hubungan kekeluargaan menjadi keruh. Terlebih malang tidak mendapat kerestuan ibu bapa, maka jauhlah keberkatan hidup si anak.

Oleh itu, selepas menyatakan niat kepada ibu bapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi akan diikat menjadi pasangan tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempuan itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar atau sebaliknya. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan. Namun begitu bertunang bukan merupakan satu tiket yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesraan seperti pasangan suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga atau mahramnya. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu menjaga batasan-batasan syara’. Jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan boleh diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Bolehkah Bercinta Sebelum Kahwin?

Secara kasarnya ada sesetengah ulama’ menganggap bercinta itu halal (harus) tetapi jumhur ulama’ lain pula menganggap haram. Bagaimanapun dikalangan ulama’ fiqh terdapat beberapa ulama’ yang merupakan ahli pencinta yang hebat seperti Daud az Zahiri yang merupakan Imam Mazhab az Zahiri.
Baiklah, penulis akan mengungkapkan beberapa hujah di sebalik bercinta sebelum berkahwin dibolehkan dan diharamkan, namun keputusan terakhir adalah berdasarkan pertimbangan akal yang sihat, di mana melihat isu ini mengikut kesesuaian diri masing-masing.

Pandangan pertama: Bercinta merupakan antara fitrah insani penting dalam kehidupan. Tiada siapa yang dapat lari daripada ber-couple dan bercinta walaupun cara dan kaedah mereka nampak Islamik (menjaga hawa nafsu dari maksiat), termasuk mereka yang bercinta selepas berkahwin. Hal ini kerana mereka yang bercinta selepas berkahwin akan melihat bakal isteri sebelum Ijab dan Qabul. Jika bercinta dianggap sebagai mukaddimah pada perkahwinan, maka ber-couple (kaedah Islamik) pula dianggap sebagai mukaddimah pada bercinta. Kedua-dua ini berkait antara satu sama lain, kecuali bagi mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Ber-couple yang penulis maksudkan ialah bukan berdua-duaan sehingga timbul fitnah antara lelaki dan perempuan bukan mahram, tetapi hanya sekadar ingin menyatakan luahan hati dan bersedia mengambil pasangan masing-masing sebagai calon suami dan isteri. Jangan salah andaian. Bercinta dianggap berguna jika dapat membawa pada kebaikan kepada kedua-dua pasangan. Sebagai contoh ber-couple dan bercinta yang disusuli dengan perkahwinan dan mendirikan rumahtangga adalah berguna kerana membawa kebaikan. Maka sini terbentuk pula keluarga, dan daripada keluarga ini terbentuk pula masyarakat seterusnya negara.

Pandangan Kedua: Namun dari sudut lain, bercinta dianggap tidak berguna dan tidak membawa kepada kebaikan. Ber-couple dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukaddimah pada perkahwinan sebaliknya mukaddimah pada melahirkan anak luar nikah atau mencampakkan anak yang tidak berdosa ke dalam tong sampah dan longkang. Bercinta seperti ini dilarang dan diharamkan dalam Islam. Selain itu perlu diingatkan juga bahawa tindakan seseorang itu ber-couple dan bercinta itu biasanya bertitik tolak daripada perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ajakan perasaan dan emosi untuk ber-couple dan bercinta perlu berusaha sedaya upaya mengunakan kewarasan akal. Malah sebagai seorang muslim kita juga perlu mengelak daripada konteks fizikal atau luaran yang boleh mencetuskan keghairahan seks yang seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah Taala iaitu perzinaan.

Dalam hal ini adalah amat perlu setiap individu muslim berpegang kepada tanggugjawab menjaga dan memelihara aurat kerana persoalan keghairahan seks mempunyai hubungkait yang amat besar untuk berlakunya perzinaan. Jawapannya ada dalam diri anda dengan menggunakan pertimbangan akal yang sihat, kaji selidik dan pertimbangan Iman yang mana bertepatan dengan ajaran Islam. Manusia yang diamanahkan Allah Taala sebagai khalifah di muka bumi ini perlu meneruskan survival dan kemandiriannya sehingga ke hari kiamat. Kemungkinan jika manusia tidak bercinta (tidak semua), kita akan pupus di dunia dan sudah tentu menyalahi amanah Allah Taala itu. Tetapi jika bercinta itu membawa ke arah kebinasaan, maka menjauhinya adalah sebaik-baik tindakan. Kebiasaan mengundang kebinasaan.

Hukum Menyanyi Lagu-lagu Kasih

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad S.A.W membenarkan hamba menyanyikan lagu berbentuk kasih (jiwa) dipanggil ghazl. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah S.A.W menyuruh Aesyah menghantar seorang hamba yang pandai menyanyi lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aesyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl” (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Ghazl bermaksud mengurat tetapi ghazl dalam beberapa hadith Nabi bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik dan sebagainya. Dalam hadith lain, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah S.A.W menginggatkan supaya seorang penyanyi keluarga baginda bernama Anjasyah supaya jangan terlalu melampau mendendangkan lagu-lagu yang mengandungi unsur-unsur tentang cinta.

Islam Dan Cinta

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara dan cinta sesama manusia. Sebab itulah Rasulullah S.A.W menekankan dalam mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadith: Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tanamkan dalam diri anak-anak kamu rasa cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca Al Quran” (el Hadith) Ini menunjukkan cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap muslim sehinggakan Nabi S.A.W bersabda bahawa tidak masuk syurga sehingga kamu belajar cinta-mencintai diantara satu sama lain.

Remaja bercinta bukan suatu perkara yang melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana cara mereka bercinta. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata. Remaja mesti ada rasa tanggungjawab. Manakala dalam hal lain dan bukti dimana cinta dibolehkan mengikut panduan kisah Nabi Yusuf a.s dan Zulaikha boleh dijadikan panduan. Allah Taala menyebut dalam Al Quran: Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu, kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu)” Yusuf (12:24)
Nabi Yusuf a.s berjaya mengawal diri dari terjerumus dalam cinta yang membawa jenayah zina. Islam menggariskan beberapa panduan dalam menjaga tatasusila masyarakat terutama hubungan antara lelaki dan perempuan, antaranya:
(1) tidak dibenarkan pergaulan bebas.
(2) tidak duduk berdua-duaan tanpa mahram.
(3) menjaga adab pertuturan dan berpakaian.
(4) menjaga pandangan mata.
(5) ikhlas untuk mengambil sebagai isteri.
Dalam keadaan ini berpasangan dan percintaan dibenarkan.
Kesimpulan: Secara umumnya perasaan kasih dan sayang termasuk dalam prinsip dan nilai yang terbaik yang diterima Islam. Kehidupan di dunia menjadi aman dan bahagia apabila makhluk yang ada saling kasih mengasihi antara satu sama lain. Allah Taala sendiri bersifat Rahman (Pemurah) dan Rahim (Pengasih). Islam membahagikan perasaan kasih sayang manusia kepada beberapa peringkat termasuk kepada keluarga, ibu bapa, anak-anak, jiran, bangsa, negara dan Agama. Termasuk dalam kategori cinta juga ialah cinta kepada Allah dan Rasul. Cinta pada Allah ialah cinta hamba kepada Penciptanya dan cinta kepada Rasul ialah pembimbing manusia sejagat kepada Allah dan agama-Nya.

Bagaimanapun, budaya berpasangan dan bercinta tanpa panduan agama dan menurut cara hidup orang Barat yang bebas adalah dilarang kerana membawa kerosakan moral dan akhlak individu dalam masyarakat. Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur, sitematik dan komprohensif. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diinginkan. Dalam masa yang sama menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh setiap manusia serta memperolehi keredhaan Allah Taala. Inilah bercinta dalam Islam, iaitu sebaik-baiknya selepas perkahwinan. Insha-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah Taala dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, maka Allah Taala akan mempermudahkan setiap urusan kita itu.

Dalam konteks kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan takdir-Nya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim serta janji kepada kedua ibu bapa kita. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati dengan cara mengamalkan Islam dalam kehidupan. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara.

About these ads

Satu Respons to “Luahan Kasih Buat Kekasih”

  1. askum sy suka membaca laman ini sy ingn menyatahui labih lanjut lagi

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 79 other followers

%d bloggers like this: