Penawar Bagi Hati – Syukur


Assalamualaikum…

هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالاً شَدِيد

اً

Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (Al-Ahzab : 11 )

Ayat ini sekadar pendahuluan,mungkin ada dan mungkin tiada kaitan dengan artikel.

Syukur merupakan salah satu sifat dari sifat mahmudah. Seorang yang bersyukur adalah seorang yang reti berterima kasih. Jiwa seorang mukmin tidak pernah lari dari sifat syukur.

Orang mukmin, sifatnya jelas. Apabila dalam kehidupannya dia diuji, maka dia akan bersabar , dan ketika dia juga diuji (dengan nikmat kelebihan) , maka dia akan bersyukur.

Syukur dalam erti kata seorang mukmin adalah dia mempamirkan segala ciri-ciri kebaikan pada dirinya, tutur katanya, akhlaknya dan segala macam tindak tanduknya, adalah pentunjuk dirinya yang bersyukur.

Ciri-Ciri Bersyukur

Pelbagai ciri-ciri atau tanda-tanda orang yang bersyukur boleh dinilai oleh seseorang adakah pada dirinya punyai sifat syukur. Berikut merupakan beberapa tanda bagi sifat seorang mukmin yang bersyukur :

1. Segala macam yang didapatinya di dunia ini berupa nikmat yang diberikan oleh Allah akan digunakannya untuk lebih mendekatkan dirinya pada Allah

Pancaindera kita merupakan nikmat yang terbesar pada diri manusia. Dengan mata boleh melihat warna warni kehidupan, dengan pertuturan kemesraan terjalin, dengan pendengaran pencetus kepada kefahaman.

Sedari peri pentingnya tiga nikmat ini, tidak ada satu pun manusia yang dijadikan Allah, yang tiada mata , pendengaran dan bisu dalam satu masa yang sama, tetapi pasti dibukakan salah satu dari tiga ini.

Dengan matanya, keagungan dan kebesaran Allah dapat dikenal pasti. Dengan pendengaran , kebijaksanaan Tuhan terungkai dengan pelbagai bunyi yang terhasil. Kicauan burung, derauan angin, kilat guruh dan pelbagainya mengindahkan lagi kebijaksanaan Tuhan. Dengan percakapan, kehalusan seni bijaksana Tuhan terserlah dengan pelbagainya bahasa yang dituturkan manusia. Dengan bentuk lidah yang sama , tetapi bahasa yang dihasilkan berbeza. Cantiknya seni kehidupan yang dijadikan Tuhan.

2. Seorang mukmin apabila timbul sifat syukur pada dirinya, maka dirinya ringan dalam mencari majlis-majlis ilmu. Dengan ilmu, akalnya berjalan. Dengan ilmu, akalnya berfikir. Dengan ilmu, dia mengetahui hakikat dirinya.

Seorang mukmin tidak suka berada dalam keadaan tidak berfikir. Baginya, akal yang dijadikan Tuhan adalah tempat untuknya menggunakan bagi melihat hasil kerja Tuhan (ilmu sains).

Dengan ilmu jugalah, ia sebagai ubat bagi hati-hati manusia. Seorang mukmin pasti gelisah apabila seharian atau sedetik baginya tiada ubat untuk jiwanya yang kosong. Kosong dari ilmu.

3. Syukur seseorang itu dilihat pada kakinya yang sentiasa mencari tempat yang boleh didapatinya keredhaan Allah. Masjid, majlis ilmu, menziarahi orang sakit, menziarahi ibu bapa serta apa sahaja yang boleh mendatangkan keredhaan Allah padanya, maka akan didapati seorang mukmin di situ.

4. Telinganya sentiasa suka mendengar ayat-ayat Allah. Pendengarannya tenang apabila dibacakan ayat-ayat Allah, pendengarannya peka apabila diberikan peringatan tentang nikmat dan azab. Pendengaran akan dijauhkan dari segala apa bahan yang akan menyebabkan hatinya sakit dan jiwanya tidak tenang, seperti umpatan, kejian dan segala macam tohmahan yang tidak benar.

5. Apabila seorang mukmin itu melahirkan rasa syukurnya akan terlihat pada dirinya tangannya ringan dalam menunaikan tanggungajawab dan dalam meninggikan kalimah Allah.

Dalam perkara ini, para ulama (orang-orang berilmu) menunjukkan contoh dengan menulis kitab-kitab. Yang dengan kitab-kitab ini ianya membuka kejahilan manusia. Menghilangkan perasaan kebuntuan, menaikkan nilai akal, memartabatkan nilai sebuah kemanusiaan.

Para mujahidin pula menunjukkan sifat yang lebih tinggi, dalam menjamin umat Islam berada dalam keadaan selamat dan tenang dalam menekuni hasil kerja Tuhan , membina tamadun berfikir, mereka keluar dengan seluruh kudratnya membentengi sempadan melawan musuh-musuh yang tidak senang dengan kejayaan Islam.

Ketinggian Pangkat

Sifat syukur atau berterima kasih merupakan sifat terpuji yang paling tinggi bagi nilai seorang muslim. Jika sabar membawa erti seseorang itu berjaya mengawal dan menahan dirinya dari sesuatu maka syukur membawa erti kita melakukan sesuatau itu untuk menunjukkan yang kita gembira dengan pemberian Allah. Sifat syukur merupakan sifat yang kekal sehingga dimasukkan kita ke dalam syurga.

Di dalam syurga tiada lagi sabar, tiada lagi takut akan azab dihumban ke dalam neraka kerana apabila sudah berada di dalam syurga , kekallah seseorang itu di dalamnya selama-lamanya. Sampai bila?…sampai bila-bila didalamnya. Sampai bila-bila tu selama mana?…selama-lamanya.

Maka dengan itulah di dalam syurga hanya pujian yang kedengaran.

10. دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلاَمٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

10. Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam (surah Yunus:10)

Kita manusia, kadang-kadang kita terlupa untuk berterima kasih (syukur). Berapa ramai dari kita bila keluar tandas boleh ucapkan rasa syukur?..Cuba kita tahan sehari dua untuk tidak melepaskan hajat, apa rasa?..Berapa lama kita boleh tahan dari penyahtinjaan? Sehari?Dua hari? mungkin ada yang boleh tahan sehingga seminggu..Tetapi akhirnya sampai masa, perut sakit memulas, untuk melegakan, perlu untuk penyahtinjaan.. Pernahkah kita merasa ianya satu nikmat?

Sifat syukur selalu datang apabila kita pernah merasa suatu kehilangan. Pernahkah kita merasa laparnya puasa?…pasti akan dijawab Ya. Dan selama sebulan ramadhan kita berpuasa, tatlkala kita berbuka, pasti tidak kering lidah kita mengucapkan rasa syukur tatkala selesai menikmati jaudah berbuka. Syukur kerana berjaya mengharungi ujian satu hari, syukur kerana terasa nikmat makanan seperti ditarik tetapi ketika berbuka seolah nikmat itu diberi kembali. Itulah peri pentingnya puasa dalam menyemai sifat syukur kita terhadap nikmat pemberian Allah, yang sengaja dia berikan mudah-mudahan tergolong kita dalam golongan  bertakwa.

Mengapa Susah BerSyukur?

Kita sebagai manusia, selalu terlupa di sebalik kejayaan atau kedapatan nikmat kepada kita, terlupa di sebalik nikmat yang ada pada kita itu siapa Dia yang memberi. Susahnya kita untuk bersyukur mungkin kerana kita terlalu melihat bahawa dunia ini terlalu besar berbanding akhirat. Kerana apa susah?…Mungkin kita kurang ilmu , mungkin kurang peka, dan banyak kemungkinan yang boleh disenaraikan.

Dalam kita melayari kehidupan ini, perlu diletakkan kesedaran pada diri kita, bahawa dunia ni pasti kita akan tinggalkan, tapi akhirat itu, pasti kita akan pergi. Tetapi bila kita hilang perasaan ini, bila kita merasakan bahawa dunia ini lebih besar berbanding akhirat, maka akan hilanglah rasa syukur manusia pada Allah. Bila ini hilang, kita akan mula melakukan perkara yang dilarang Allah.

Bermulanya untuk melihat kita sudah mula terkikis sifat syukur apabila kita mula goyah dengan apa yang selalu kita amalkan sebelum ini, sudah mula liat untuk bangun di tengah kesunyian malam, kita sudah mula mengurangkan pembacaan quran, sudah mula mengurangkan ibadah-ibadah sunat. Ianya petunjuk kepada terkikisnya sifat syukur pada diri kita. Apabila kita menyedari perkara ini sudah mula nampak pada diri kita, istighfarlah, dan teruskan mujadahah(kesungguhan) untuk melakukan apa yang selalu diamalkan.

124. وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

124. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari mengingatiku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Toha:124)

Kita yang hidup sebagai seorang mukmin akan menghargai sifat syukur ini untuk kekal di dalam diri, kerana apabila sifat ini hilang dari diri kita, tercabutlah keberkatan dalam kehidupan. Jika sebelum ini, RM 700 cukup untuk menyara kehidupan, maka ketika gaji meningkat RM 1400 , sudah tidak cukup keperluan, pasti habis. Segalanya tidak menjadi.Buat itu resah, buat ini gelisah, dan apabila keresahan timbul pada diri, nilailah sifat syukur dalam diri kita, pasti ada yang tidak kena. Nilai sebuah keberkatan adalah kecukupan dalam menjalani kehidupan. Syukur mencukupkan syarat sebuah keberkatan.

كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya;  negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.  (Saba:15)


Ganjaran Syukur

Kita sebagai seorang hamba yang beriman, sepatutnya bergembira apabila kita besyukur,kerana kita punyai Tuhan Yang Maha Pemurah. Apabila kita bersyukur kita akan ditambah-tambah nikmat. Bila kita bersyukur, azab Allah tidak akan menimpa kita.

Cuma , kita cuba untuk menafsir diri kita, sejauh manakah kesyukuran kita dengan nikmat Allah. Berapa ramai dari kita yang suka ucap alhamdulillah bila bangun tidur? Bila bersin? Bila seusai membuang air kecil?

Ciri orang mukmin adalah setiap hujung perbuatannya pasti diakhiri dengan Alhamdulillah. Tidak inginkah kita menjadi orang Mukmin?

Teori di dalam Islam ini mudah, senang dilafaz tetapi dalam bab beramal dalam islam, ianya agak berat. Sebab itu, kita perlu memandang kehidupan dengan berlapis-lapis dan dari pelbagai sudut, jangan hanya pandang dari satu sudut sahaja. Mungkin jika kita melihat dari sudut yang berbeza kita boleh menghargai sesuatu nikmat Tuhan itu yang kita rasakan seolah-olah ianya bukan nikmat.

Sifat Syukur Nabi

Allah mengutuskan Nabi Muhammad dari kalangan manusia agar kita merasa rapat dengan Nabi. Kerana Nabi seorang manusia, dia punyai perasaan sama seperti kita punya perasaan, dia punya badan, telinga mata yang kita juga milikinya. Maka sedari itu, nabi merupakan contoh terbaik dalam kita menilai sifat syukur yang sepatutnya.

Aisyah r.a salah seorang isteri Nabi, melihat Nabi solat tahajjud sehingga bengkak kakinya, dan dia bertanya nabi , Kenapa buat macam ni (ibadat sampai bengkak, sakit) , bukankah kamu sudah dijanjikan keampunan? Maka Nabi s.a.w menjawab “apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?”

Betapa hebatnya nilai syukur Nabi. Bukan hanya kerana baginda seorang Nabi kita mengatakan kita tidak boleh , tetapi tujuan Nabi diutuskan untuk kita meniru apa yang sedaya kita boleh.Kita boleh rujuk surah Addhuha, untuk melihat beberapa sebab Nabi bersyukur.

Manusia, iaitu kita sebagai orang yang mengaku Tuhan kita adalah Allah, perlulah membezakan diri kita dengan sifat seekor anjing.

Sebagai contoh, sebuah rumah hidup tuan rumah, orang gaji dan seekor anjing.. Setiap hari tuan rumah akan memberi apa-apa pada orang gaji dan disuruhnya memberi makan pada anjing. Sedari itu, setiap kali anjing melihat dan berjumpa orang gaji , pasti akan digoyang-goyangkan kakinya, goyang-goyang ekor menunjukkan tanda suka seekor anjing. tetapi apabila tuan rumah datang , maka si anjing tadi akan menyalak, sedangkan yang sebenarnya yang memberi makan adalah tuan rumah tersebut. Maka jika kita tidak bersyukur pada Allah, mungkin boleh disamakan dengan anjing. na’uzubillahi min zalik.

Kesimpulan

sebab itu, bila kita beri barang pada orang, maka kita perlu sebut “barakallahu laka fiha” , dan apabila kita dapat hadiah, kita menyebut “jazakallahu khairan kasira”

Kerana apa kita menyebut dan bersyukur , kerana seorang mukmin percaya bahwa setiap sesuatu itu adalah pemberian Allah, untuk menguji dirinya sama ada bersyukur atau kufur.

Apabila kita bersyukur, kita akan guna nikmat itu pada jalan Allah.

Apabila seorang lelaki, diberikan mata, dia akan melihat isterinya, dia akan pandang anak-anaknya yang dengan pandangan itu dia beroleh pahala. Dan dia tidak akan memandang yang bukan ajnabi baginya kerana ianya akan membawa kepada kesalahan.

Manusia yang berbuat maksiat tidak pernah diberikan Allah kebahagiaan dan ketenanga dalam jiwanya, bahkan kebahagiaan dan ketenangan itu tidak wujud di dalam kemaksiatan.

Mahu tenang dan bahagia, buatlah suruhan agama, solat ,puasa, zikir, akhlak mulia pada diri dan pada orang lain.

Mudah-mudahan kita digolongkan oleh Allah dari kalangan orang-orang yang bersyukur.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 78 other followers

%d bloggers like this: